loading...

Mia Ahmad Kembali Ke Lokasi Penggambaran

KUALA LUMPUR: Dua bulan selepas mendirikan rumah tangga bersama penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi, pelakon, Mia Ahmad, mengaku menerima banyak tawaran kerja.

Menurut bintang Hati Perempuan berusia 29 tahun itu, beliau bagaimanapun terpaksa melupakan dulu hasrat untuk kembali ke lokasi penggambaran buat seketika berikutan usia perkahwinan mereka sendiri masih begitu baharu.

“Banyak tawaran yang datang kepada saya selepas berkahwin. Ada yang cakap, ia memang rezeki pengantin baharu dan tidak kurang juga yang menganggap sebagai ujian untuk saya tidak terburu-buru membuat pilihan.

“Cuma beberapa minggu selepas bernikah, saya terpaksa menolak dulu tawaran berlakon yang datang.

“Ketika itu, dengan usia perkahwinan yang masih baharu, rasanya belum sesuai untuk saya menerimanya. Saya pun masih dalam fasa membiasakan diri bergelar isteri,” katanya kepada BH Online.

Pelakon ini hanya akan kembali beraksi di depan kamera bermula April depan. Sehingga kini, beliau menerima dua undangan lakonan bagi meneruskan kerjayanya di arena seni.

Cerita Mia lagi, beliau juga sudah mula betah dengan rutin harian sebagai isteri, selain nekad mengikut suaminya menetap di Johor Bahru.

Begitupun, kata Mia atau nama sebenarnya Samiha Ahmad Baderi, jika ada komitmen yang memerlukannya berada di ibu kota, beliau masih boleh berulang alik.

“Kalau suami berkebetulan ada komitmen di luar, bolehlah saya balik ke ibu kota lama sikit. Lagipun, ia bukanlah masalah besar bagi kami.

“Dulu, sewaktu bercinta, kami sudah biasa apabila jarang berjumpa dek tuntutan kerja masing-masing,” katanya yang masih menjadikan rumah sewanya di sini sebagai tempat persinggahan.

Mia dan Izham, 26, berkahwin pada Januari lalu di Taiping, Perak.-Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...