Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim
KUALA LUMPUR – ‘Kalau dia (Rafizi) betul-betul ikhlas dan jujur, dia kena beritahu, dia kena dedah. Saya pun tertanya-tanya bila dia sebut rasuah (melibatkan kerajaan Selangor), kita pun nak tahu, sangat teruja, Dan saya nak tahu perempuan mana pulak tu,”kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mendesak Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bertindak sebagai pemimpin sejati.
Beliau berkata demikian selepas mengulas mengenai sikap Rafizi yang disifatkan sering mendedahkan salah laku dalam pentadbiran kerajaan dan harus mengambil langkah yang sama bagi mendedahkan salah laku yang dilakukan pimpinan pembangkang itu.
“Kalau Rafizi seorang yang konsisten, dia mesti dedahkan salah laku tersebut tanpa menutup demi menjaga kepentingan parti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Perkasa, hari ini.
Menurut Ibrahim, Rafizi perlu menegakkan kebenaran seperti yang dilakukan pimpinan luar negara (Jepun dan Amerika Syarikat).
Terdahulu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan Rafizi mengemukakan bukti berhubung salah laku dan kegiatan rasuah yang emmbabitkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).-SuaraTV