loading...

Bandar Idlib Di Syria Bermandi Darah

BEIRUT – Lebih 60 orang awam terbunuh, manakala 200 yang lain cedera dalam serangan udara besar-besaran oleh tentera Rusia di hospital dan masjid di bandar Idlib, barat laut Syria, malam kelmarin.

 

Menurut Jurucakap Pertahawan Awam di Idlib, Abdurrazak Jubeiro, sebanyak tiga buah jet melancarkan 17 serangan udara ke arah beberapa sasaran termasuk Hospital Kebangsaan Ibn Sina, Hospital al Watani dan sebuah masjid.

 

Selain itu, bedilan bertubi-tubi oleh tentera Rusia turut mengenai beberapa buah kediaman, mengakibatkan penduduk terperangkap di bawah runtuhan.

 

Abdurrazak berkata, antara yang maut adalah wanita dan kanak-kanak ketika anggota pasukan pertahanan awam bertungkus lumus sepanjang malam menggali di sebalik sisa runtuhan bagi mencari mangsa yang cedera dan terkorban.

 

Katanya, dua buah hospital itu rosak teruk dan tidak dapat menyediakan perkhidmatan perubatan selepas ini.

 

Angka korban dijangka terus meningkat.

 

Pasukan Pertahanan Awam Idlib menerusi laman Facebook, turut berkongsi gambar me­nunjukkan anggotanya berjaya membawa keluar seorang kanak-kanak yang masih hidup daripada sisa runtuhan sebuah bangunan.

 

Dalam pada itu, Pengarah Badan Pemantau Hak Asasi Sy­ria, Rami Abdel Rahman berkata, pengeboman itu adalah yang pa­ling hebat sejak gencatan senjata dicapai pada Februari lalu.

 

Bandar Idlib merupakan kubu kuat kumpulan penentang termasuk rangkaian kumpulan al-Qaeda, Barisan Nusra.

 

Tentera udara Rusia dihantar ke Syria tahun lalu bagi menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam perang saudara yang mahu menamatkan peme­rintahan beliau.

 

Namun, Rusia dalam satu kenyataan hari ini sekeras-kerasnya menafikan penglibatannya da­lam serangan berkenaan.

 

“Jet Rusia tidak melaksanakan apa-apa misi tempur atau serangan udara di Idlib,” kata jurucakap Kementerian Pertahanan Rusia, Igor Konashenkov. – REUTERS

Previous
Next Post »
loading...