loading...

Pencalonan Tetap Sah Walaupun Tidak Hadir Hari Penamaan Calon – SPR

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menjelaskan calon di mana-mana kawasan pilihan raya tetap sah pencalonannya walaupun tidak hadir di hari penamaan calon, demikian kata Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

 

Beliau merujuk kepada Peraturan 6 (2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, yang mengizinkan borang pencalonan boleh diserahkan sendiri oleh calon, pencadang dan penyokongnya, atau oleh mana-mana dua, atau mana-mana seorang daripada mereka.

 

“Berdasarkan peraturan ini amat jelas tiada halangan dari segi undang-undang sekiranya borang penamaan calon tidak dikemukakan sendiri oleh calon tersebut tetapi boleh juga dikemukakan oleh salah seorang, sama ada pencadang atau penyokong beliau,” katanya dipetik dari laporan Bernama.

 

Penjelasan Pengerusi SPR itu dipercayai bagi menjawab pertikaian sesetengah pihak yang sebelum ini mendakwa pencalonan Datin Mastura Moh Yazid yang akan mewakili BN menjadi tidak sah sekiranya tidak hadir pada hari penamaan calon untuk menyerahkan sendiri borang pencalonan.

 

Sabtu lepas, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pencalonan Mastura, balu kepada bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad untuk mewakili BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Parlimen itu.

 

Mastura bagaimanapun tidak akan terlibat secara langsung dalam kempen BN dalam PRK itu susulan keadaannya yang masih dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari selepas kematian suami.

 

Mengulas lanjut, Mohd Hashim berkata di bawah peraturan tersebut, setiap borang penamaan calon perlu diserahkan oleh calon atau mana-mana wakilnya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya di tempat penamaan antara 9 hingga 10 pagi hari penamaan calon.

 

“Sama ada sah atau tidak borang penamaan tersebut bagi menentukan kelayakan bakal calon masih tertakluk kepada syarat-syarat yang sedia ada bagi kelayakan seseorang calon sepertimana dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan bertulis yang berkaitan Pilihan Raya yang berkuatkuasa buat masa ini,” ujarnya lagi.

 

Sementara itu, berdasarkan rekod pilihan raya negara ini mendapati ketidakhadiran calon semasa hari penamaan calon serta tindakan calon tidak menyertai kempen tidak menjadi satu isu memandangkan ia bukan kali pertama berlaku di negara ini.

 

Pada PRU-12 tahun 2008, M.Manoharan yang ketika itu berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga pernah tidak hadir pada hari penamaan calon namun tetap sah untuk bertanding mewakili DAP dan menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Alam Shah.

 

M.Manoharan hanya memulakan khidmat sebagai ADUN selepas dibebaskan dari tahanan ISA pada 9 Mei 2009, lebih setahun selepas memenangi kawasan yang ditandingi semasa PRU-12 2008. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...