PUTRAJAYA – Teka-teki mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan terjawab dalam masa dua hari.
BN dijangka mengumumkan calon bagi PRK Sungai Besar pada Jumaat di sebuah majlis yang akan diadakan di Pekan Pasir Panjang pada pukul 8 malam.
Majlis yang sama bagi memperkenalkan calon BN kepada pengundi Kuala Kangsar dijangka dibuat pada pukul 5 petang Sabtu.
Pengumuman calon BN bagi kedua-dua kerusi itu akan dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pihak BN dan Umno di Selangor mengunci mulut mengenai calon tetapi difahamkan terdapat tujuh nama disenarai pendek.
“Tunggu pengumuman esok. Kita masih menangani beberapa perkara dan terdapat banyak kerja perlu dilakukan,” kata sumber dari jawatankuasa perhubungan negeri.
Kenyataan yang sama dikeluarkan oleh BN Perak.
Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar berikutan penyandangnya bersama empat yang lain maut dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lalu.
Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon menjadi Ahli Parlimen Sungai Besar sejak 2004 manakala Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad memenangi kerusi Parlimen Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Kedua-dua PRK diadakan serentak dengan penamaan calon pada 5 Jun dan pengundian 18 Jun. – mstar