GOMBAK – Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki mendedahkan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa enggan menerima surat pemecatan keahlian yang dihantar ke alamatnya melalui pos.
Menurutnya Husam memulangkan semula surat tersebut kepada ibu pejabat PAS hanya kerana terdapat salah ejaan pada namanya.
“Saya dengar cerita dia (Datuk Husam) tidak mahu terima surat itu. PAS hantar dengan kurier. Ada kesilapan sedikit pada ejaan. Dia hantar balik (surat). Di tidak mahu terima,” dedah Zuhdi sambil berseloroh ketika berucap pada ceramah ‘Jalan ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar’ di Dataran Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini malam tadi.
Husam pada 6 Mei lalu dilucutkan keahliannya sebagai ahli PAS selepas Jawatankuasa Tatatertib PAS meneliti aduan salah laku ADUN Salor itu.
Husam yang juga bekas Naib Presiden PAS sebelum ini lantang mengkritik dan mencabar parti dan pemimpinnya secara terbuka berkaitan beberapa isu termasuk hudud.
Malah Husam turut mendakwa Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah merancang untuk bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Selangor.
Zuhdi dalam pada itu berkata, PAS bertuah kerana punya ahli yang lebih berdisiplin daripada pemimpin parti itu.
Ujarnya, faktor itu menjadikan PAS semakin kuat dikala parti politik lain semakin goyah.
“Ketika parti lain bercempera. Umno pecah belah. Terpaksa pecat Timbalan Perdana Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri kabinetnya.
“PKR pun macam itu juga (berpecah belah). Surat dari jeriji besi, ada yang kata sah dan ada yang kata tak sah. Berlaku perbezaan pendangan dan serang menyerang.
“DAP pun macam itu juga. Pengerusi DAP Johor letak jawatan. Ada yang mahu jawatan Ketua Menteri (Pulau Pinang) dihadkan sebab tak puas hati dengan pemimpin sedia ada sekarang,” ujarnya.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Zuhdi berkata PAS enggan terlalu yakin untuk memenangi dua PRK, 18 Jun ini.
“PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, kita akui walaupun kita dapat sokongan nasional tapi kita masih mahu jadi ‘underdog’. Tak mahu terlalu yakin seperti parti baru setahun jagung (Parti Amanah Negara).
“Cuba lihat Presiden (PAN) yakin menang. Saya sempat bersama Mohamad Sabu mengiringi program pelajar di United Kingdom. Dalam program itu dia sebut, kita yakin kita akan memerintah Malaysia.
“Lepas program, saya jumpa dia…abang Mat, betul ke (yakin boleh memerintah?). Mat Sabu jawab, depan orang saja kita kata yakin, belakang orang…lain cerita,” seloroh Zuhdi diselangi gelak tawa hadirin yang hadir.
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar terpaksa diadakan selepas penyandangnya meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas helikopter, 5 Mei lalu. – AntaraPos