loading...

200 Mat Rempit Dihukum Tolak Motosikal 6km Dalam Hujan

MELAKA – Lebih 200 mat rempit ‘dihukum’ menolak motosikal sejauh kira-kira enam kilometer ke balai polis selepas ditahan dalam Ops Lalulintas di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini, awal pagi tadi.

 

Mereka sebelum itu dikepung polis di empat laluan di Lebuh AMJ, berhampiran Melaka Sentral, kira-kira jam 1.45 pagi ketika terbabit dalam lumba haram.

 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, berkata operasi enam jam berakhir 5 pagi itu bertujuan mengekang lumba haram, terutama pada hujung minggu.

 

Beliau berkata, operasi khas itu disertai 70 anggota Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM).

 

“Ada penunggang sanggup merempuh sekatan sehingga mencederakan beberapa anggota SPDRM yang menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui.

 

Katanya, penunggang motosikal yang ditahan kemudian diarah menolak motosikal ke IPD Melaka Tengah untuk pemeriksaan lanjut dan ujian air kencing.

 

“Sebanyak 209 motosikal dan sembilan kereta diperiksa, sebelum 95 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dan 10 motosikal disita. Polis turut menahan empat penunggang motosikal berusia 18 hingga 22 tahun selepas ujian saringan air kencing mereka positif dadah.

 

“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah, polis turut menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun yang berada dalam senarai orang dikehendaki. – BH

Previous
Next Post »
loading...