loading...

Polis Tak Perlu Tangkap Orang Yang Hina Saya – TMJ

JOHOR BAHRU — Tunku Ismail Ibrahim bertitah hari ini mencadangkan agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menahan individu yang menghina baginda, selepas sekurang-kurangnya tiga orang diberkas dalam masa seminggu.

Menurut Tengku Mahkota Johor itu, baginda sebenarnya tidak peduli kata orang, namun tidak dapat berbuat apa-apa jika ada laporan polis yang dikemukakan terhadap seseorang yang mengeluarkan kenyataan yang dianggap menghina.

“Saya dengan rendah diri mencadangkan kepada PDRM agar tidak menangkap mana-mana individu yang telah membuat sebarang kenyataan yang menghina terhadap saya,” katanya dalam satu coretan di laman rasmi pasukan bola Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers.

“Saya lebih suka jika pihak berkuasa dapat menganjurkan pertemuan antara saya dan individu-individu tersebut dan memberikan mereka peluang untuk menyuarakan apa yang mereka mahu katakan kepada saya secara berhadapan, dan bersemuka antara mereka dan saya sahaja.

“Saya akan menghargainya jika anda bersetuju dengan cadangan ikhlas saya ini,” tambahnya.

Putera Johor itu juga mendakwa bahawa ada laman-laman media sosial yang diupah “organisasi berkuasa” bagi “melaga-lagakan rakyat” lalu mengalihkan perhatian daripada isu-isu yang lebih besar.

Namun, baginda tidak menamakan organisasi tersebut.

“Itulah sebabnya saya lebih memberi keutamaan kepada rakyat Johor dalam hal-hal pelajaran kerana saya tidak mahu rakyat saya mudah dipermainkan oleh sistem yang memutarbelitkan perkara-perkara sebenar serta mengalih perhatian isu-isu besar daripada rakyat,” tambahnya.

Tunku Ismail juga menyenaraikan pencapaian baginda, yang dakwanya menyebabkan ramai orang membencinya.

“Saya adalah seorang insan yang ‘real’ manakala sesetengah mereka (anak-anak orang kenamaan) di KL cuba berlagak ‘gangster’,” katanya.

“Saya disayangi oleh rakyat saya, dihormati di negeri-negeri dan negara lain, ditakuti oleh orang-orang yang mementingkan diri sendiri demi kuasa, dan billionair berusia 31 tahun yang paling dibenci oleh mereka yang mempunyai penyakit mental.”

Minggu lepas, pengguna media sosial Masyhur Abdullah ditahan polis untuk membantu siasatan kes menghina JDT dan Tunku Ismail. Semalam, seorang lelaki dari Selangor, Aiden Chew, juga ditahan untuk siasatan yang sama. – MalayMail

Previous
Next Post »
loading...