loading...

Video : Khir Toyo Bebas, Insaf Selepas Dipenjara

Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim

KLANG – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo yang sudah bebas menjalani hukuman penjara atas pertuduhan menyalahguna kuasa sebagai penjawat awam menzahirkan rasa keinsafannya.

 

Beliau yang ditemui di Pejabat Parol, Daerah Klang, Jabatan Penjara Malaysia, pagi tadi turut berterima kasih kepada pihak penjara yang menjaganya selama menjadi tahanan di penjara.

 

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak penjara kerana menjaga saya. Alhamdulillah, bagi saya yang penting ialah bagaimana kita belajar menginsafi. Semua orang ada buat kesilapan yang penting bagaimana kita mengatasi kesalahan itu.

 

“Saya lihat usaha yang dibuat oleh pihak penjara. Ada kelas agama di sana. Kita masuk kelas (dengan mayarakat berbagai agama) ada Kristian, Hindu, Buddha dan Islam. Jadi kita masyarakat hari ini melihat dengan lebih positif kepada penjara. Selalunya kita dengar benda-benda negatif. Memang dulu kalau kita lihat ia negatif, ia akan jadi negatif, kalau kita lihat dari segi positif ia akan jadi positif.

 

“Bagi saya seseorang itu dah ditentukan takdirnya dan kita perlu terima takdir itu sebaik-baiknya. Memang mudah nak bercakap redha terima takdir tapi saya dah lalui. Ia bukan mudah. Ia sangat sukar. Jadi saya masuk penjara dahulu sebagai Dr gigi. Saya pernah berkhidmat sebagai Dr di situ sebelum ini. Kali kedua saya masuk sebagai banduan. Dan kamu lihat ia bagaimana? 360 darjah pertukaran. Inilah kehidupan yang perlu kita lalui,”katanya dengan nada sebak.

 

Terdahulu, beliau ditahan atas pertuduhan menyalahguna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.

 

Mahkamah Persekutuan pada 29 September tahun lalu mengekalkan sabitan dan hukuman 12 bulan penjara ke atasnya.-SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...