loading...

Husam Gesa PAS Tarik Diri Tanding PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar

KOTA BHARU – Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa meminta parti itu menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak jika enggan berunding dengan parti pembangkang yang lain (Pakatan Harapan).

 

Menurut Husam, kedegilan­ Pas yang enggan berunding sehingga sanggup berdepan persaingan tiga penjuru dalam kedua-dua PRK tersebut boleh menyebabkan parti itu kalah teruk termasuk mendapat undi lebih rendah daripada satu lagi parti yang tewas.

 

“Dalam kedua-dua PRK ini, kita kena lihat dengan teliti parti mana yang ada daya menang lebih. Kalau bukan Melayu tidak sokong Pas, kecil hati dengan Pas, bermakna mula-mula lagi Pas sudah hilang daya menang. Lebih baik Pas tidak letak calon.

 

“Kalau berlaku tiga penjuru, Pas mesti dapat undi lebih daripada parti satu lagi. Jika ditakdirkan Pas dapat kurang undi, imej Pas akan rosak untuk tempoh yang sangat lama.

 

“Sama ada Pas berunding dengan parti-parti lain (Pakatan Harapan) supaya berlaku satu lawan satu atau Pas tarik diri supaya tidak nampak teruk di mata rakyat,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini semalam.

 

Dalam perkembangan lain, Husam memberitahu, beliau te­lah mengirim sepucuk surat kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta supaya pemecatannya daripada parti itu ditarik balik dengan alasan keputusan dibuat tidak mengikut perlembagaan parti.

 

“Saya berharap Presiden mempertimbangkan perkara ini sebelum muktamar supaya saya boleh hadir sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Kerian dan berpeluang membahaskan ucapan dasar dan mempersoalkan beberapa tindakan pemim­pin parti sejak kebelakangan ini,’’ katanya.

 

Husam berkata, jika permohonannya ditolak, beliau masih berminat untuk hadir ke muktamar sebagai pemerhati.

 

Beliau dalam pada itu turut memberitahu bahawa sedang mempertimbangkan untuk mengheret beberapa individu dalam Pas ke mahkamah kerana memfitnahnya sehingga dipecat daripada parti. – UTUSAN

Previous
Next Post »
loading...