Oleh: Wan Nasrah Abdul Rahim
SUNGAI BESAR – Pemilihan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar adalah paling tepat, kata Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.
Beliau berkata demikian, selepas calon yang menganggap dirinya sebagai calon ‘underdog’ itu diumumkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) semalam.
“Bagi saya calon ini adalah yang paling tepat. Keputusan YAB Perdana Menteri, adalah satu keputusan yang tepat. Saya percaya dengan apa yang diumumkan (malam tadi), menjadikan PRK ini akan beroleh kejayaan besar kepada Barisan Nasional,”katanya.
Sebelum ini, Budiman akan meneruskan kualiti kerja di Sungai Besar ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan yang juga berada di bawah Parlimen Sungai Besar selain DUN Sungai Panjang.
PRK Parlimen Sungai Besar ditetapkan pada 18 Jun ini berikutan kematian Noriah yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.-SuaraTV