KUALA LUMPUR – Percaya atau tidak, ketum yang dimomokkan sebagai baik untuk kesihatan sebenarnya dianggap ibu dadah kerana kesan dan trauma fizikal akibat rasa giannya yang jauh lebih perit berbanding gian dadah sintetik.
Malah, ketum juga boleh menghilangkan rasa ‘rindu’ atau dalam bahasa penagih, boleh ‘potong’ semua dadah sintetik menyebabkan tiada penagih minum ketum ketika mereka high kerana jika tidak, kesan high itu akan hilang.
Gelaran ‘ibu dadah’ itu diberikan sendiri penagih berdasarkan pengalaman mereka, sekali gus membuktikan dakwaan kononnya ketum tidak boleh disamakan dengan dadah seperti ganja, candu dan sebagainya adalah meleset sama sekali.
Berkongsi pengalamannya selama 25 tahun sebagai penagih, Ghazali, 53, yang berasal dari Kampung Sungai Korok, Kuala Jerlun, Kedah, berkata, kesakitan fizikal akibat gian ketum empat kali ganda lebih teruk daripada heroin.
Bapa kepada lima anak yang kini merupakan penagih tegar ketum sejak 12 tahun lalu berkata, berbeza dengan kesan gian heroin yang mampu hilang dalam tempoh seminggu jika dirawat di pusat pemulihan, penagih ketum sebulan akan menjadi seperti ‘kain buruk’.
“Ketagih ketum ini teruk, dulu saya ambil ‘Pokteh’ (heroin) tapi bagi saya ketum sama macam candu, dia (ketum) ‘ibu’ kepada dadah. Dia boleh ‘potong’ segala dadah, kalau gian dadah paling lama pun seminggu, tapi ketum ini sebulan tak boleh tidur, jadi ‘kain buruk’.
“Badan kita tiba-tiba akan jadi kejang, batuk pula sampai macam nak terkeluar kerongkong, badan jadi lesu selesunya,” kata Ghazali menceritakan pengalamannya berdepan dengan trauma gian ketum kepada Utusan Malaysia di Kedah baru-baru ini.
Ditanya sama ada rasa gian itu disebabkan campuran dengan dadah lain, Ghazali berkata, dia yang memerlukan sekurang-kurangnya lima plastik ketum sehari tidak mencampurkan air ketum dengan mana-mana dadah atau bahan terlarang lain.
Sependapat dengan Ghazali ialah Faizal, 35. Pesawah yang menjadikan air ketum sebagai ‘teman setianya’ sejak 10 tahun lalu itu berkata, pengalaman dua kali ditahan di pusat rawatan menyedarkannya bahawa dakwaan ketum baik untuk kesihatan adalah meleset.
Faizal yang berasal dari Permatang Bonglai, Kubang Pasu berkata, sebagai anak jati Kedah, asalnya dia juga terpengaruh dengan dakwaan ketum dapat menguatkan badan apatah lagi kerjanya sebagai pesawah menuntut kudrat yang banyak.
“Ketum ini bila berpeluh lagi kuat buat kerja, lagi peluh lagi syok, kita tak rasa penat walaupun kita kerja tengah panas. Kita tak rasa panas, tiada masalah untuk saya buat kerja bendang walaupun matahari tegak atas kepala.
“Tapi kalau tak ambik ketum, badan saya langsung larat nak buat kerja, jadi malas dan akhirnya bila ditahan di pusat rawatan, derita gian ketum ini cukup menggila,” katanya yang setuju jika ketum dimasukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Sementara itu, seorang lagi penagih tegar ketum, Taufik, 33, berkata, dakwaan kononnya ketum tidak memudaratkan dibuat pihak yang tidak pernah merasa trauma dan penderitaan akibat gian, kerana adalah menjadi budaya masyarakat di Kedah untuk meminumnya hampir setiap hari.
Dia yang asalnya penagih ubat batuk sebelum beralih kepada ketum berkata, dadah lain kebiasaannya mendorong kepada rasa ‘rindu’ yang kuat tetapi semua rasa itu akan hilang tidak lama selepas meminum ketum.
“Pihak yang mendakwa ketum ini tidak memudaratkan, barangkali tak pernah rasa derita bila mereka tidak ambil ketum dalam tempoh dua hingga tiga minggu, bila rasa sendiri derita itu mereka akan faham kenapa kami anggap ketum ‘ibu dadah’,” katanya. – UTUSAN