JOHOR BAHRU — Seorang nelayan ditahan di atas botnya semasa berada di perairan Tenggara, Pulau Tioman semalam kerana dipercayai menghantar mesej berbaur jelik dan menghina Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui laman sosial Facebook pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata bertindak atas maklumat, polis menahan nelayan berusia 46 tahun itu yang dipercayai pemilik akaun ‘Minah Pendek’ pada kira-kira 11 pagi semalam.
Beliau berkata pihaknya menerima dua laporan polis pada 8.20 pada dan 9 pagi Sabtu lepas berikutan penghantaran mesej jelik, menghina dan menyakitkan hati Tunku Ismail.
“Suspek didapati memuat naik mesej itu menerusi akaun Facebook atas nama ‘Minah Pendek’. Ekoran itu, kami membuka dua kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Wan Ahmad Najmuddin berkata pihaknya turut merampas dua unit telefon bimbit bersama sim kad telefon bimbit daripada nelayan itu.
Nelayan itu akan direman untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya. — Bernama