TOKYO – Lebih 300 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam sebuah pesawat Korean Air jenis Boeing 777 di lapangan terbang Haneda, Tokyo diarahkan keluar selepas salah satu enjinnya mengalami kebakaran.
Rakaman televisyen dari lapangan tersebut menunjukkan pesawat berkenaan yang sepatutnya terbang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gimpo, Korea Selatan, dikelilingi trak bomba.
Kesemua gelongsor kecemasan pesawat tersebut telah dibuka.
“Enjin nombor satu pesawat itu (Boeing 777) telah terbakar.
“Pesawat yang sepatutnya menuju ke Lapangan Terbang Gimpo dari Haneda itu mempunyai 302 penumpang dan 17 krew. Api itu berjaya dipadamkan,” kata seorang jurucakap Korean Air kepada AFP.
AFP turut dimaklumkan oleh Kementerian Pengangkutan Jepun dan pihak lapangan terbang bahawa asap telah kelihatan keluar dari pesawat tersebut semasa ia bersedia untuk berlepas.
Sementara itu, laporan NHK dan Jiji Press mengatakan, tiada penumpang atau anak kapal yang tercedera dalam kejadian itu. – Awani