loading...

“Bukan Islam Jangan Masuk Campur Hal Ehwal Islam” – Ramesh Rao

PETALING JAYA – Bukan Islam tidak sepatutnya masuk campur dalam undang-undang Islam kerana ia khusus untuk umat Islam, kata Presiden Pertubuhan Minda Sosial dan Prihatin (PMSP) Ramesh Rao.

 

Pendirian Ramesh bertentangan dengan pemimpin bukan Islam lain daripada kedua-dua blok politik (BN dan PH) yang secara terbuka membantah usul Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016.

 

Menulis di Facebook semalam, Ramesh menyatakan sokongan kepada RUU berkenaan yang akan membuka laluan kepada hudud dilaksanakan di Kelantan.

 

“Hudud hanya untuk umat Islam, maka tidak elok mereka yang tidak berkenaan masuk campur urusan agama orang lain,” tulisnya.

 

Ramesh menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memegang teguh pendiriannya untuk mengukuhkan Islam walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

 

“Minta Najib jangan tunduk dengan ugutan MCA dan Gerakan.

 

“Banyak lagi yang lebih relevan dalam kalangan parti komponen sedia berkhidmat jika diberi peluang,” katanya.

 

Kenyataan Rao itu susulan ugutan dibuat pemimpin parti komponen BN yang pada hujung minggu lalu berikrar untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet jika hudud dilaksanakan.

 

Ini termasuk Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC (Menteri Kesihatan) Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Presiden Gerakan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Mah Siew Keong.

 

Ketiga-tiga pemimpin itu membantah RUU yang dibentangkan di Parlimen Khamis lalu, untuk meminda undang-undang yang akan membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan sebagai tidak “berperlembagaan”. – FMT

Previous
Next Post »
loading...