KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus memelihara hubungan akrab dan baik dengan jiran-jiran dan rakan berdagangnya, serta berhubung dan bekerjasama dalam usaha untuk mengekalkan ekonomi yang kukuh, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata Malaysia melakukan ini tanpa mengira ideologi politik negara berkenaan, sambil meneruskan pendirian yang bebas, berkecuali dan berprinsip dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa.
“Membina hubungan dan perkongsian ekonomi dengan negara-negara lain dapat memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran untuk rakyat.
“Itu adalah pendekatan kami – dan kami telah lihat manfaatnya, kata beliau dalam ucaptama di persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-30 di sini malam Isnin.
Menyebut hubungan Malaysia dengan Singapura, beliau berkata usul Perkara-perkara Perjanjian pada 2010 selepas berdepan dengan kebuntuan selama 20 tahun, merupakan contoh baik bagaimana kedua-dua negara telah memilih bagi membelakangi batu penghalang yang wujud sekian lama untuk bergerak ke hadapan dalam semangat faedah bersama.
Beliau menambah, kedua-dua negara sedang mengkaji untuk membina keretapi berkelajuan tinggi antara Kuala Lumpur dan Singapura, dengan Memorandum Persefahaman dijangka ditandatangani pada Julai.
Di Filipina, Najib berkata Malaysia menjadi fasilitator rundingan bagi menyelesaikan pergolakan yang berlarutan lama di Asia, dan ia kini menunggu-nunggu pelaksanaan akhir Perjanjian Komprehensif mengenai Bangsamoro.
Tahun lepas, beliau berkata Malaysia turut bekerjasama dengan Indonesia, Thailand, Myanmar dan Bangladesh dalam menangani isu pendatang di laut sementara Malaysia akan juga menerima 3,000 pendatang Syria dalam dua tahun akan datang.
“Kami akan terus membantu meredakan krisis kemanusiaan sama ada dekat atau jauh, begitu juga kami akan terus membantu dan mengetuai usaha menentang radikalisme dan ekstremisme.
“Dengan memandang keluar, terbuka kepada perdagangan dan kerjasama, dedikasi kepada kesederhanaan dan toleransi, tekad memerangi bahana ekstremisme ganas, dan fokus sepenuhnya kepada keperluan dan aspirasi rakyat, inilah cara Asia-Pasifik dapat memperkukuh keselamatan kita bersama, ketika kita bergerak menuju ke dekad ketiga yang banyak pihak memanggilnya sebagai Abad Asia, kata beliau. – BERNAMA