KUALA LUMPUR – Seorang ahli Parlimen Parti Amanah Negara berkata cukai minuman keras tidak sepatutnya dinaikkan kerana ia akan membebankan golongan bukan Muslim.
“Saya melihat cukai terhadap rokok sedang meningkat. Bagi alkohol pula, ia dibenarkan untuk bukan Muslim, jadi jika kita naikkan cukainya ia akan membebankan mereka,” kata Siti Mariah Mahmood (Amanah-Kota Raja) di Dewan Rakyat semalam.
“Saya mencadangkan bagi tempoh jangka panjang, minuman beralkohol dan produk tembakau dijual berasingan di premis tertentu,” katanya ketika membahaskan Bajet 2017.
Dr Siti Mariah berkata ini bagi memudahkan penguat kuasa menjalankan pemantauan jika kedai menjual minuman keras bukan berada di kawasan majoriti Islam.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau meminta kerajaan menjelaskan jumlah diterima daripada “cukai dosa”, iaitu termasuk cukai dan duti eksais daripada alkohol, tembakau dan perjudian.
Beliau berkata wang daripada cukai dosa itu boleh digunakan untuk membayar hutang negara, sementara dana negara untuk emolumen penjawat awam bagi mematuhi syariah. – FMT
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW