loading...

Bahan Letupan, Senjata M16 Milik Pengganas Sulu Ditemui Di Lahad Datu

KOTA KINABALU – Beberapa bahan letupan dan senjata api jenis M16 bersama sejumlah peluru serta beberapa magazine kosong, berkemungkinan milik pengganas Sulu, ditemui di kawasan kebun di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu, Ahad lepas.

 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci mengenai penemuan senjata api berkenaan.

 

“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya senjata api berkenaan adalah peninggalan semasa Op Daulat bagi menangani pencerobohan pengganas Filipina di Lahad Datu pada 2013.

 

“Ini kerana kawasan penemuan senjata api berkenaan berada di lokasi Op Daulat itu.

 

“Kita tidak menolak kemungkinan senjata api berkenaan adalah milik pengganas Sulu,” katanya selepas merasmikan penubuhan Persatuan Pegawai Kanan Polis Pencen Malaysia (Respa) Sabah hari ini.

 

Mengenai penahanan seorang lelaki berusia 50-an yang dipercayai menemui senjata api itu, Abdul Rashid berkata, ia bagi membantu siasatan polis.

 

Mengenai Respa, Abdul Rashid berkata, ia akan menjadi platfrom menghubungkan semula semua pesara pegawai tinggi polis di seluruh Sabah.

 

“Kita sangat mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Respa Sabah dan saya berharap lebih ramai pesara pegawai kanan polis akan menyertai Respa.”

 

Sementara itu, Pengerusi Respa Sabah, Datuk Sulaiman Junaidi berkata, dianggarkan terdapat lebih 100 pesara dalam kalangan pegawai polis di negeri ini dan kini 37 daripada mereka sudah mendaftar sebagai ahli persatuan itu.

 

Turut hadir Timbalan Presiden Respa Malaysia, Datuk Mohd Nawawi Ismail. – BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...