loading...

Pemuda, Puteri Umno Desak Asean Kaji Semula Keanggotaan Myanmar

KUALA LUMPUR — Nasib etnik Rohingya mendapat perhatian pada persidangan tiga sayap Umno hari ini, dengan Pemuda Umno mendesak keanggotaan Myanmar dalam Asean dikaji semula berikutan penindasan dan kekejaman terhadap etnik itu.

 

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata prinsip tidak campur tangan tidak boleh diguna pakai apabila berlakunya pemusnahan etnik besar-besaran dalam sebuah negara Asean.

 

Pemuda Umno juga mendesak kerajaan Myanmar untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan segala bentuk kekejaman terhadap etnik itu dengan serta-merta.

 

“Saya ingin menegaskan bahawa Pergerakan Pemuda Umno mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan kezaliman yang dilakukan ke atas bangsa Rohingya di Myanmar yang amat tidak berperikemanusiaan dan sama sekali tidak boleh diterima oleh mana-mana manusia yang punya akal, hati dan jiwa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

 

Pada awal ucapannya, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut menarik perhatian perwakilan dengan satu klip video yang menunjukkan kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

 

Puteri Umno yang turut mengecam pembantaian dan pembersihan etnik Rohingya yang melanda wilayah utara Rakhine sejak beberapa bulan lalu dengan menggesa semua pihak khususnya badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Asean dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil ketetapan segera menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Myanmar itu.

 

Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut mendesak supaya Jawatankuasa Anugerah Nobel menarik balik anugerah Nobel Keamanan kepada Menteri Luar Negeri dan kaunselor kerajaan Myanmar Aung San Suu Kyi.

 

“Di sana kini, rumah-rumah etnik Rohingya dibakar. Golongan wanita dirogol bergilir-gilir sebelum dipenggal lehernya. Kanak-kanak yang belum lagi mengenal makna kehidupan dirampas di hadapan ibu bapa dan sehingga kini tidak pulang-pulang.

 

“Ibu-ibu mengandung dibelah perutnya. Umat Islam pula dipaksa menukar agama atau dibunuh,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya sempena persidangan pergerakan itu di PWTC di sini hari ini.

 

Dalam pada itu Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan mahu semua pihak mengambil iktibar daripada peristiwa pahit itu kerana ia tidak mustahil berlaku di negara ini sekiranya alpa. — Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...