KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO kini dibenarkan untuk membuat ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia merupakan tradisi asal yang dilakukan parti berbanding tahun sebelum ini.
“Sesiapa yang difikirkan ada perkara untuk membuat penggulungan, ia dibenarkan. Kita balik kepada tradisi biasa, MT yang ada perkara hendak berucap dibenarkan,” katanya selepas mesyuarat MT UMNO Khas di Menara Dato Onn di sini, hari ini.
Pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, hanya Presiden parti iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyampaikan ucapan penggulungan.
Sementara itu, ahli MT UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, persiapan untuk Perhimpunan Agung tahun ini berjalan lancar dan tiada sebarang masalah susulan timbul.
“Persiapan kepada perjalanan yang lain biasa sahaja, semuanya lancar dan tidak ada masalah,” jelasnya.
Sementara itu, ahli MT UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menjelaskan, paling penting perhimpunan kali ini dijadikan platform parti memenangi hati rakyat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke- 14.
“Apa yang penting, persidangan ini dijadikan platform untuk kita kukuhkan parti. Ini masa kita buktikan parti dapat selesaikan masalah rakyat, kita bersatu dan pastikan parti jadi pilihan rakyat pada PRU akan datang,” ujarnya.
Terdahulu, Datuk Seri Najib melancarkan ‘Buku Infografik Pilihan’ dan menyampaikan hadiah kepada pemenang laman web UMNO bahagian di lobi Menara Dato Onn.-Awani
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW