loading...

10 Warga Filipina Miliki MyKad Palsu Ditahan

SEREMBAN – Hasrat 10 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk rakyat dari Selatan Filipina untuk menyamar sebagai warganegara Malaysia terbongkar selepas mereka ditahan dalam satu Operasi Terancang yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Port Dickson, awal pagi Isnin.

 

Operasi selama empat jam bermula 1 pagi yang dijalankan di Kampung Batu, Jalan Bagan Pinang serta Taman Port Dickson Utama, Port Dickson, dekat sini, turut disertai Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kekuatan seramai 33 pegawai dan anggota.

 

Ketua Pengarah JPN, Mohd Yazid Ramli berkata, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan didapati memegang kad pengenalan palsu dan memiliki kad pengenalan orang lain.

 

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, JPN telah menangkap seramai 10 orang berumur sekitar 20 hingga 49 tahun yang melakukan kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu iaitu sebanyak lapan kes, menggunakan kad pengenalan milik orang lain satu kes serta memiliki kad pengenalan milik orang lain tiga kes.

 

“Hasil siasatan ke atas mereka yang ditahan mendapati sembilan dari mereka mengaku berasal dari Basilan dan Zamboanga, Selatan Filipina serta berbangsa Tausug manakala seorang berasal dari Jawa Barat, Indonesia berbangsa Sunda… dalam operasi ini kita turut merampas lapan keping kad kemahiran pekerja binaan (CIDB) yang turut dipalsukan,” katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

 

Mohd Yazid berkata, siasatan lanjut turut mendedahkan bahawa kesemua kad pengenalan yang digunakan telah dibeli dari agen di Sandakan dan Sipitang, Sabah dengan harga antara RM300 hingga RM500 untuk setiap satu.

 

“Dalam pemeriksaan itu, JPN berjaya mengesan kesalahan salah seorang yang selain menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri, turut memiliki dua keping kad pengenalan milik orang lain yang disyaki digunakannya untuk bekerja di daerah ini,” katanya.

 

Beliau berkata, kesemua yang ditahan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dari tiga tahun atau denda tidak lebih dari RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – AntaraPos



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...