loading...

Saya Perlu Kuat – Misha Omar

MELIHAT anak kecil yang dikuarantin dalam inkubator wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) bersama wayar berselirat di badan pasti menjadikan perasaan si ibu yang melahirkan berbaur rasa sedih dan resah.

 

Masakan tidak, impian untuk melihat anak tersayang yang dikandung lahir secara normal seperti bayi-bayi lain tidak kesampaian apabila usia kandungan belum sempat mencecah 40 minggu.

 

Namun, pasti ada hikmah atas semua yang terjadi. Langkah terbaik, si ibu perlu tabah dan peka terhadap penjagaan bayi pra-matang ini agar si anak mampu membesar dan sihat.

 

Itulah situasi yang dihadapi penyanyi terkenal, Misha Omar, yang sebelum ini mendapat publisiti meluas media hiburan tempatan apabila penyanyi yang popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta ini melahirkan bayi pra-matang pada 24 Ogos lalu.

 

Mengimbas detik tersebut, Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah binti Omar, 34, mengakui hatinya luluh apabila melihat keadaan anaknya, Muhammad Idris Ezzwa, 2 bulan, saat awal kelahiran.

 

“Proses melihat Idris membesar di hadapan mata begitu rumit. Dia dilahirkan ketika usia kandungan mencecah 33 minggu dan pada fasa terawal menjaganya, banyak masa kami hanya di hospital saja.

 

“Idris ditempatkan di NICU dan bila dibawa pulang, dia diserang demam kuning, jadi kami perlu ulang alik ke hospital bagi melakukan pemeriksaan berkala.

 

“Benar, sebelum ini saya sudah ada pengalaman menjaga anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10 dan Humaira Lateefa, 4, sejak kecil. Namun ia berbeza dengan Idris yang dilahirkan tidak cukup bulan,” kata bintang kelahiran Kelantan ini.

 

Sejak mempunyai anak, Misha jadi lebih sensitif tambah lagi apabila hadirnya Idris.

 

“Saya perlu menjadi lebih kuat, cekal dan tabah dari sebelumnya. Semua yang berlaku secara serta-merta dan terima kasih buat suami dan keluarga kerana banyak membantu,” ujarnya lagi.

 

“Rasa sayu melihatkan keadaannya dengan fizikal yang kecil, sudah tentu ia mengundang rasa sayu pada hati saya dan suami. Apapun saya reda dan percaya, ia adalah hikmah tidak ternilai dari-Nya pada kami.

 

“Alhamdulillah saat dilahirkan dulu, beratnya 2.05kg dan ketika berada di NICU lebih kurang 10 hari, beratnya berkurangan kepada 1.9 kg dan syukur, kini beratnya sudah mencecah 4.0kg.

 

“Kini, dia makin ligat dan aktif. Pastinya, ia menggembirakan kami, begitu juga dengan abang dan kakaknya,” terang Misha yang kembali ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) pada 22 Januari depan di TV3.

 

Ubat rindu peminat

 

Berkongsi mengenai penyertaannya dalam AJL31 bersama Hafiz Suip menerusi lagu duet Terimaku Seadanya nukilan Ajai, penyanyi lagu Pulangkan ini berharap agar penglibatannya di pertandingan lagu tahunan itu setidaknya dapat mengubat kerinduan peminat.

 

“Dalam tempoh ‘berehat’ dari muncul ke depan sambil melihat penyanyi baru mewarnai dunia seni, saya ada mendengar komen dari peminat dan penggiat seni yang merindui kehadiran saya di pentas AJL.

 

“Mana tidaknya, lagu ini juga terpilih ke semi final atas undian peminat.

 

“Alhamdulillah, ia bakal dipertandingkan di AJL31 dan harapnya kami dapat melakukan persembahan yang terbaik buat komposer dan peminat. Terima kasih atas sokongan semua buat saya.

 

“Hafiz antara penyanyi yang dikagumi selain Akim, Hazama, Black dan Azhael. Mereka merupakan penyanyi generasi baru lelaki yang saya segani.

 

“Jadi lagu duet kami saya kira sebagai suatu yang baru dan kami sendiri suka dengan lirik lagu tersebut saat pertama kali diperdengarkan tidak lama dulu,” kata Misha yang merancang untuk benar-benar fokus pada nyanyian tahun hadapan.-Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...