KUALA LUMPUR – Seramai 2,643 perwakilan dari 191 Bahagian memulakan Perhimpunan Agung UMNO 2016 dengan dihadiri oleh kepimpinan barisan kepimpinan parti dan barisan Majlis Tertinggi termasuklah barisan pemimpin pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Dalam laporannya, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa Perhimpunan Agung tersebut bukanlah semata-mata untuk meneruskan perjuangan parti demi bangsa, agama dan negara.
“Perhimpunan ini juga adalah bukti bahawa, UMNO adalah parti yang mempunyai struktur yang mantap, organisasi yang tersusun, ada Perlembagaan dan peraturan serta patuh pada perundangan Akta Pertubuhan.”
Beliau turut memaklumkan bahawa keahlian UMNO telah bertambah kepada 3,573,719 orang dengan bilangan cawangan sebanyak 21,653.
“Dalam pada UMNO diasak dan dimomokkan dengan pelbagai kata, keahlian UMNO terus bertambah dan mendapat sokongan dari masa ke masa,” katanya yang memberikan laporan sebelum bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2016.
Perhimpunan Agung UMNO 2016 ini juga turut dihadiri oleh delegasi luar negara seramai 109 orang, mewakili 27 parti melibatkan 19 buah negara selain kehadiran para penuntut di peringkat pengajian tinggi dari dalam dan luar negara iaitu seramai 78 perwakilan dari Kelab UMNO Luar Negara dan 35 orang perwakilan mahasiswa universiti dari dalam negara.
Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak para perwakilan mengalu-alukan Bendahari baharu UMNO Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Said Keruak dan Ketua Penerangan baharu UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam barisan Majlis Tertinggi UMNO di Perhimpunan tersebut. – MediaUMNO
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW