THE HAGUE – Muzium Etnologi Kebangsaan Denmark mengesahkan tengkorak manusia berusia 800 tahun berasal dari Mexico yang disifatkan sebagai karya agung seni peribumi Mixtec sejak berdekad-dekad lalu adalah palsu.
Muzium yang terletak di Leiden itu mendedahkan penemuan mengejutkan tersebut setelah melakukan kajian terperinci selama empat tahun terhadap tengkorak berkenaan yang merupakan satu daripada 20 tengkorak seumpamanya di dunia.
“Tarikh radiometerik menunjukkan tengkorak yang dihiasi batu marmar biru itu memang berasal dari abad berkenaan dan tulen, namun siasatan lanjut mendapati gam dari abad ke-20 telah digunakan untuk menampal batu marmar itu,’’ menurut kenyataan muzium berkenaan.
Akhbar harian Denmark, Trouw turut melaporkan, gigi pada tengkorak itu juga adalah palsu berikutan keadaannya yang terlalu sempurna bagi bahan purba yang tertanam sejak berabad-abad lamanya.
Muzium berkenaan membeli tengkorak itu dengan harga AS$20,000 (RM88,930) pada 1963 untuk memperlihatkan seni purba Mesoamerika.
Namun siasatan mendapati, pihak muzium telah ditipu selepas kurator, Martin Berger menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya di Marseille, Perancis pada 2010.
Rakannya itu memaklumkan bahawa mereka turut menerima tengkorak yang serupa daripada seorang pengumpul persendirian yang mendermakannya kerana meragui ketulenannya.
Berger dan rakannya berkunjung ke makmal di Paris dengan membawa tengkorak dari Muzium Denmark dan setelah dianalisis mendapati tengkorak itu adalah lebih ‘moden’ daripada yang dijangkakan.
Berger memberitahu akhbar berkenaan, beliau mengesyaki tengkorak itu dipalsukan oleh seorang doktor gigi dari Mexico sekitar 1940-an dan 1950-an apabila kawasan-kawasan arkeologi telah diceroboh secara besar-besaran terutama hasil seni Mixtec bagi memperoleh pendapatan lumayan.
Pendedahan itu bagaimanapun tidak mengecewakan pihak muzium sebaliknya kata Berger telah menghasilkan cerita aneh yang boleh disampaikan kepada pengunjung.
“Tengkorak ini masih kekal sebagai karya agung kami, namun kami telah mengubah maklumat di papan keterangan,’’ ujarnya. – AFP/Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW