loading...

Gadis Narathiwat Cipta Sejarah

Lincah, bertenaga dan miliki semangat juang yang tinggi. Kelebihan ini mendorong Ammy Fara menyertai Dangdut Academy Asia 2 (DAA2) musim lalu.

Gadis berusia 18 tahun dari wilayah Narathiwat ini turut mencipta sejarah kerana menjadi peserta pertama Thailand menyertai pertandingan lagu dangdut.
Anak bongsu daripada tiga beradik ini mencipta kejayaan peribadi apabila menduduki tempat keenam serta meraih Anugerah Media Sosial dalam DAA2.

Ammy amat beruntung kerana dilamar bernaung di bawah label Padi Records di Malaysia dan RCS Music di Indonesia.

“Alhamdulillah, impian saya hampir menjadi kenyataan. Tak mengapa tidak bergelar bergelar juara kerana apa yang saya capai sudah memadai. Saya suka menyanyi sejak kecil dan didedahkan dengan lagu Melayu.

“Antara penyanyi kegemaran saya ialah Ella, Inka Christie dan Inul. Saya minat lagu pop dan dangdut, tapi lebih cenderung kepada dangdut,” katanya ketika bertandang ke Kuala Lumpur minggu lalu.

Mengulas pembabitan Ammy dalam dunia seni, gadis ini mengakui mewarisi bakat bapanya, Rozali yang sehingga kini masih aktif bermain muzik di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand.

“Ayah main muzik dangdut dan kami sekeluarga sukakan genre ini. Bahkan ayah juga pernah menerbitkan album dangdut yang menampilkan saya dan dua abang.

“Syukur album ini diterima baik dan laris di Selatan Thailand, malah saya juga kerap dipanggil menyanyi di stesen TV Bahasa Melayu di sana,” katanya.

Ammy kini sangat gembira kerana namanya bukan sahaja dikenali di Thailand tetapi juga di Malaysia dan Indonesia.

“Saya teruja apabila ada peminat di negara luar. Dalam masa sama terselit juga perasaan bimbang kerana saya belum menguasai bahasa Melayu dengan baik.

“Saya juga turut dikenali warga Indonesia yang bekerja dan menetap di negara Arab, Taiwan serta penduduk Brunei,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi yang turut diminati pereka fesyen terkenal serta juri DAA2, Ivan Gunawan itu juga teruja kerana ada kelab peminat iaitu Ammyou’s Fan Club.

“Kelab ini dikendalikan dari Indonesia dan ada ramai pengikut. Ia sekali gus membuktikan pilihan saya mencuba nasib sebagai penyanyi dangdut tidak sia-sia.

“Mungkin apabila diterima peminat kelak, saya perlahan-lahan buat perubahan konsep lagu terutamanya untuk peminat Malaysia yang sukakan irama pop,” katanya.

Peminat boleh mengikuti perkembangan Ammy Fara menerusi Instagram daa2_ammyfara serta Facebook Ammy Fara DAA2 dan Ammy Fara.-Hmetro



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...