RAMALLAH – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yakin Palestin akan merdeka tahun ini juga selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi menentang pembinaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin.
Press TV melaporkan, beliau yang mengalu-alukan keputusan itu yakin berkata demikian memandangkan tidak pernah berlaku sebelum ini isu berkenaan berpihak kepada Palestin.
Mahmoud mengutuk tindakan rejim Tel Aviv yang cuba memesongkan fakta masyarakat antarabangsa mengenai isu itu pada masa yang sama memperluaskan jajahan mereka di wilayah Palestin.
“Israel mesti menghentikan pembinaan penempatan haram dan mengubah demografi di tanah yang dijajah,’’ katanya semasa berucap sempena sambutan ulang tahun ke-52 pembentukan pergerakan Fatah di sini kelmarin.
Penduduk Palestin berusaha membentuk negara yang merdeka di wilayah Tebing Barat, Baitulmaqdis timur dan Genting Gaza dengan menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara dimana lebih 230 penempatan haram Israel telah dibina di wilayah Palestin sejak 1967.
Pembinaan haram itu turut menjejaskan usaha mewujudkan perdamaian di Asia Barat.
Pada November 2012, perhimpunan agung PBB mengundi untuk menaik taraf status Palestin daripada entiti pemerhati bukan anggota kepada negara pemerhati bukan anggota badan dunia itu walaupun menerima tentangan hebat daripada Israel.
Bendera Palestin dikibarkan di ibu pejabat PBB di New York pada September 2015 buat pertama kalinya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW