loading...

Tugu Peringatan Banjir Jadi Perdebatan Selepas Husam Musa Pertikai Pembinaan

KOTA BHARU – Tugu Peringatan Banjir di Kuala Krai di sini, yang dibina bercirikan Islam dan menghadap arah kiblat, merupakan kontroversi terbaharu di Kelantan selepas isu balak yang menjadi fokus bantahan penduduk Orang Asli.

 

Isu tersebut hangat diperdebatkan apabila bekas exco kanan Kelantan, Datuk Husam Musa, mempersoalkan tindakan kerajaan pimpinan PAS itu membina tugu sedangkan masih ramai mangsa banjir belum mendapat rumah yang selesa.

 

Pemimpin Parti Amanah Negara itu mendakwa kerajaan Kelantan menggunakan dana Yayasan Amanah Tok Kenali (YATK) berjumlah RM300,000 kerana kecuaian membina atas tanah milik persendirian, sekaligus menyifatkannya satu pembaziran dana awam.

 

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut, mendesak Adun Salor itu menarik balik kenyataannya.

 

“Selepas meneliti beberapa dokumen dan mendengar penjelasan daripada Yayasan Amanah Tok Kenali, tanah yang dimaksudkan adalah dibeli daripada Yayasan Amanah Tok Kenali bagi tujuan menyelamatkan tanah Masjid Jauhar yang sebelum ini dibina di atas tanah milik individu.

 

“Manakala, Tugu Banjir yang dibina oleh badan bukan kerajaan di Kuala Krai tidak termasuk di dalam tanah yang dibeli Yayasan Tok Kenali dan tidak seperti yang didakwa beliau,” katanya.

 

Tugu tersebut dirasmikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob pada 28 Ogos 2016.

 

Kelantan antara negeri dilanda banjir besar bermula akhir 2014, melumpuhkan sebahagian besar Pantai Timur selama beberapa minggu. Lebih 200,000 orang mangsa dipindahkan, manakala 21 orang dilaporkan terbunuh.

 

Wau bulan, arah kiblat

 

Tinjauan FMT mendapati tugu itu bercirikan Islam, menghadap kiblat, sementara di puncaknya dipasang wau bulan yang menjadi simbol kebudayaan negeri.

 

Turut dinyatakan ialah tapak berbentuk bintang melambangkan Islam, sementara 5 bucu berdasarkan rukun Islam dan 5 waktu solat.

 

Ia juga menunjukkan tanda aras air ketika beberapa insiden banjir yang berlaku pada 1963, 1972 dan 2014.

 

Menurut Setiausaha Majlis Daerah Kuala Krai, Shuhairy Samsudin, selain menjadi mercu tanda bagi mengenang sejarah hitam itu, ia juga penghargaan kepada semua agensi, NGO, badan korporat, dan orang perseorangan yang membantu mangsa banjir.

 

Tinjauan FMT mendapati rata-rata penduduk setempat menyambut baik tugu tersebut, menyifatkanya produk pelancongan baharu.

 

“Kami penduduk Kuala Krai menyambut baik pembinaan tugu ini dan ia juga boleh dijadikan rujukan kepada orang ramai setiap peristiwa yang berlaku,” kata Mohd Nadzmi Yusuf.

 

Sementara itu, bagi Hazimi Rahman, tugu itu boleh dijadikan produk pelancongan baharu.

 

“Kenapa bila Kerajaan Kelantan bina tugu banjir ada orang bising, sepatutnya ia tidak perlu dipersoal kerana ia dibuat sebagai memperingati sejarah banjir di Kelantan,” katanya.

 

Sebaliknya, Mohd Khairul menyifatkan misi lebih penting ialah mangsa banjir diutamakan selaras dengan tuntutan Islam. – Fmt



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...