KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa membatalkan semua program rasmi MARA yang dihadirinya di New Zealand bagi menghormati penggantungannya sebagai Pengerusi MARA dan Pelaburan MARA Berhad (PMB), yang berkuat kuasa serta-merta, hari ini.
Katanya, beliau baharu saja selesai bermesyuarat bersama Kolej Yayasan Saad dan Queenstown Recreational College (Otago University), hari ini dan esok dijadualkan bertemu Naib Canselor University of Auckland, sebelum berlepas pulang ke tanah air, Khamis ini.
“Saya tidak tahu menahu hal mesyuarat khas ini dan saya juga belum mendapat maklum apa isunya.
“Setakat ini, saya tidak pernah diminta apa-apa penjelasan oleh sesiapa, baik Ahli Majlis atau Menteri (Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
“Mesyuarat Majlis dijadualkan pada 14 Februari ini dan saya bercadang untuk berbincang isu berkaitan tetapi nampaknya, Menteri memberi persetujuan untuk mesyuarat khas diadakan terlebih awal dan tanpa kehadiran saya.
“Sebagai penjawat jawatan yang dilantik oleh Menteri, saya menerima keputusan ini secara berlapang dada, penuh kebertanggungjawapan terutama dalam rangka menjalankan tugas yang diamanahkan kepada saya,” katanya dalam entri Facebooknya, hari ini.
Annuar berkata, prinsip integriti dan amanah akan sentiasa beliau utamakan, selain akan membuat kenyataan selanjutnya minggu depan.
“Insya-Allah… biar segalanya tenang dulu dan tidak perlu terburu buru,” katanya. – BHarian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW