NEW YORK – Hanya selepas 24 jam dilaksanakan, sekatan terhadap pelarian diperkenalkan oleh Presiden AS, Donald Trump mendapat tamparan apabila Mahkamah Persekutuan mengeluarkan perintah menghalang penghantaran pulang kumpulan pelarian dan pendatang yang tidak dibenarkan memasuki negara ini.
Keputusan tersebut sedikit sebanyak meredakan kekecohan yang berlaku di lapangan-lapangan terbang di 11 negeri di AS malam semalam melibatkan puluhan ribu penunjuk perasaan yang membantah pelaksanaan sekatan berkenaaan.
Menurut Kesatuan Pembebasan Awam Amerika (ACLU), perintah sementara itu diputuskan oleh Hakim Ann Donnely terhadap pemegang visa atau pelarian selepas membenarkan tuntutan dua lelaki Iraq yang terlibat mencabar perintah Trump atas alasan Perlembagaan.
Kira-kira 200 orang telah ditahan ketika tiba di lapangan terbang di seluruh negara ini atau ketika transit malah ada yang memiliki visa atau permit imigresen lain.
Berdasarkan keputusan mahkamah itu, Donnely memerintahkan halangan pemindahan terhadap mana-mana individu yang mempunyai dokumen pelarian yang disahkan, visa atau apa-apa dokumen sah untuk memasuki AS dengan alasan wujud risiko ‘kecederaan yang tidak dapat dipulihkan’ kepada mereka yang terlibat.
Bagaimanapun, keputusan mahkamah itu tidak menyebut sama ada mereka yang ditahan dibenarkan memasuki negara ini.
Ini bermakna mereka yang ditahan di lapangan terbang mungkin akan ditempatkan dalam pusat tahanan sementara kes itu selesai apabila dijangka didengar pada hujung bulan depan.
Laporan tentang mereka yang ditahan mula diterima dari seluruh negara semalam dengan kira-kira 50 orang ditahan di Lapangan Terbang Dallas-Forth dan Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles.
Menurut pegawai kanan Jabatan Keselamatan Negara, sekurang-kurangnya 375 pengembara turut terlibat dengan perintah itu dengan 109 ditahan semasa sedang transit ke negara ini dan tidak dibenarkan masuk.
Dalam pada itu jabatan berkenaan turut memaklumkan, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah itu namun akan terus melaksanakan perintah Trump.
“Mereka akan melalui saringan dan proses kemasukan ke AS yang ketat sejajar undang-undang imigresen dan perintah Perlembagaan,’’ jelas pegawai itu dalam satu kenyataan.-Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW