loading...

Sekatan Trump: Negara Baharu Bakal Masuk Senarai

WASHINGTON – Rakyat dari tujuh negara majoriti Islam yang kini disekat secara sementara dari memasuki Amerika Syarikat (AS) atas arahan eksekutif Presiden Donald Trump mungkin akan terus disekat untuk satu tempoh yang lebih panjang, sementara mungkin ada negara-negara lain yang turut dimasukkan dalam senarai itu.

 

Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri John Kelly pada Selasa, lapor Reuters.

 

Di bawah arahan eksekutif yang dikeluarkan Jumaat lalu, mereka yang datang dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman tidak boleh memasuki AS selama sekurang-kurangnya 90 hari.

 

Pada masa yang sama, Kelly dan beberapa pihak lagi sedang menilai sama ada terdapat maklumat yang cukup untuk menyaring mereka.

 

“Beberapa negara yang sudah berada dalam senarai itu mungkin akan terus disekat, terutamanya jika negara-negara itu dalam keadaan bergolak,” ujar Kelly dalam sidang media.

 

Tambah Kelly, negara-negara lain mungkin akan ditambah dalam senarai jika dikenal pasti ‘menjadi sebab prosedur keselamatan diperketatkan’ sebagai langkah berjaga-jaga.

 

Banyak tuntutan saman telah dibuat ke atas arahan eksekutif Trump itu, yang turut menerima kritikan daripada kelompok Republikan, Demokrat, organisasi hak asasi manusia dan beberapa sekutu Barat.

 

“Jelas sekali apa yang berlaku pada Jumaat lalu, tidak dilaksanakan mengikut cara yang betul. Terdapat banyak isu di sini yang dibuat tanpa berfikir panjang,” ulas Senator Republikan Bob Corker.

 

Menjawab soalan mengenai hal itu, Kelly berkata, warga dari tujuh negara yang disasarkan tersebut memiliki dua kerakyatan, mereka dibenarkan memasuki AS menggunakan pasport dari negara yang tidak dihalang, namun status mengenainya belum muktamad.

 

Arahan eksekutif juga mengekang penempatan pelarian selama 120 hari, namun pentadbiran White House membenarkan pelepasan kepada 872 orang dalam ‘transit’ yang akan tiba minggu ini.

 

Sejak arahan itu dikeluarkan, 721 orang yang memegang visa dari tujuh negara tersebut telah dihalang daripada menaiki pesawat menuju AS. Imigresen AS juga telah memproses 1,060 kemasukan yang dibenarkan, iaitu kepada pemastautin tetap seperti yang memiliki kad hijau.-Awani



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...