loading...

Terlalu Boros, Johnny Depp Berdepan Saman

LOS ANGELES – Perbelanjaan melampau aktor Johnny Depp termasuk sejumlah AS$3 juta (RM13.3 juta) untuk menembakkan abu mayat penulis Hunter S. Thompson dari meriam membuatkan dia kini di ambang krisis kewangan.

 

Semua maklumat itu terdedah berdasarkan satu dokumen mahkamah pada Selasa, lapor AFP.

 

Menurut The Management Group (TMG), pelakon berusia 53 tahun itu boros membelanjakan kira-kira AS$2 juta (RM8.86 juta) sebulan sepanjang dua dekad lalu.

 

TMG bertindak menyaman bintang itu di Los Angeles atas pinjaman yang belum dibayar kembali.

 

Pemegang peranan utama filem ‘Pirates of the Caribbean’ itu didakwa telah membelanjakan sejumlah AS$75 juta (RM332 juta) untuk membeli 14 buah rumah, termasuk sebuah hartanah kastil Perancis seluas 18 hektar, rangkaian kepulauan Bahamas, beberapa buah rumah Hollywood, unit emper di Los Angeles dan ladang kuda di Kentucky.

 

Sejak 2000, pelakon tersebut telah membelanjakan AS$18 juta (RM79.7 juta) ke atas sebuah kapal layar, membeli 45 buah kereta mewah dan menghabiskan hampir AS$700,000 (RM3.1 juta) sebulan untuk wain, jet peribadi dan 40 pekerja.

 

TMG juga memberitahu, Depp juga mempunyai kegilaan terhadap lebih 200 karya Warhol, Klimt dan ramai lagi seniman lain. Dia juga mempunyai 70 gitar koleksi, dan koleksi memorabilia Hollywood yang kesemuanya disimpan di 12 lokasi.

 

Depp sendiri telah memfailkan samannya bernilai AS$25 juta (RM110.7 juta) pada 13 Januari lalu yang menuduh TMG salah menguruskan kewangannya, mengambil pinjaman tanpa kelulusan, dan menyembunyikan masalah kewangan.

 

“Selama lebih 17 tahun, TMG lakukan segala yang mampu untuk menyelamatkannya.

 

“Malah, apabila bank Depp mendesak pembayaran semula pinjaman bernilai berjuta-juta dolar dan Depp tiada wang tersebut, TMG telah memberi pinjaman kepadanya supaya dia tidak terjebak dalam krisis kewangan yang memalukan,” ujar peguam TMG, Michael Kump dalam satu kenyataan.

 

TMG berkata, mereka telah berkali-kali memberi amaran kepada Depp tentang perangai borosnya, namun pelakon itu membalas dengan menyerang pengurus-pengurus perniagaannya, meningkatkan perbelanjaan dan menyuruh mereka segera mencari jalan untuk melunaskan bil.-Awani



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...