loading...

Pencarian MH370 Kembali Ke Rancangan Asal

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, para pegawai dan pakar pencarian akan terus menganalisis kesemua data yang ada untuk mencari MH370.

 

“Kita menggantung pencariannya agar kita boleh kembali ke rancangan asal dan mengkaji semula data pencarian laut dalam, data serpihan, corak hanyutan dan data satelit.

 

“Biro Keselamatan Pengangkutan Australia akan terus menganalisis sebarang data yang mereka miliki sementara Pertubuhan Saintifik dan Kajian Komanwel akan terus menganalisis corak hanyutan serpihan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya Anih Bhd di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, Malaysia telah menubuhkan pasukan tindak balas yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman untuk melihat serpihan dan menghubungi kembali semua negara yang berada di sekitar Lautan Hindi bagi membantu Kuala Lumpur dalam mencari hasil tinggalan pesawat Malaysia Airlines itu.

 

Beliau yang baru kembali daripada Perth, Australia setelah bertemu dengan anak kapal terakhir yang meninggalkan kawasan pencarian, berkata pihak berkuasa Australia telah bersetuju untuk terus bekerjasama dengan Malaysia bagi menyelesaikan apa yang disifatkan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden itu.

 

Tiong Lagi berkata, kementeriannya akan mengadakan sesi dialog dengan saudara mara mangsa MH370 bagi menangani keprihatinan dan menjawab persoalan terutamanya yang berkaitan penggantungan usaha pencarian.

 

“Saya telah mengarahkan KP DCA untuk bekerjasama dengan ATSB (Biro Keselamatan Pengangkutan Australia) dan Malaysia Airlines Bhd untuk memberi penjelasan kepada keluarga mangsa MH370.

 

“Kita akan merancang siri dialog dengan saudara mara mereka selepas Tahun Baru Cina mengenai pencarian kita. Kita tidak mahu mereka berfikir yang kita menggantung usaha pencarian begitu sahaja tanpa sebarang perkembangan. Kita mahu mencari jawapan bagi misteri ini bersama mereka,” katanya.

 

Selasa lalu, Malaysia, Australia dan China mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan penggantungan usaha pencarian pesawat Boeing 777-200ER selepas tidak berhasil meneroka kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

 

Pesawat MH370 hilang daripada radar bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan menuju Beijing daripada Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. – Bernama



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...