SHAH ALAM – Rundingan antara PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), 2 Februari depan hampir pasti ‘tidak akan menepati’ kehendak segelintir pihak, yang mahukan dua parti itu mengadakan kerjasama politik menuju pilihan raya.
Menurut Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dasar perjuangan PAS dan PPBM jelas bercanggah sama sekali.
Pun begitu, rundingan yang akan diadakan itu tetap akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mencari titik persamaan bagi membolehkan semua pihak ‘menang-menang’.
“Saya fikir kalau tak sama (dasar PPBM-PAS), PAS tak mungkin akan buat kerjasama. Dan ini perlu difahami semua parti-parti, sebab dasar dan prinsip yang kita perjuang adalah mengikut Al-Quran dan hadis bagi kita orang Islam.
“Dan jaminan kita apa yang PAS perjuang tidak akan menjejaskan hak bukan Islam. Sebagai contoh, 27 tahun kita dah memerintah di Kelantan (dan) saya rasa tak ada satu perkara yang PAS bawa ganggu hak bukan Islam untuk amalkan agama atau budaya,” katanya kepada Antarapos.
Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas saranan Penasihat PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu perlu mengorbankan matlamat dan pendirian mereka jika mahu bersama Pakatan Harapan-PPBM.
Kata Tun M lagi, pembangkang perlu mengutamakan perjuangan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak berbanding perkara lain.
Tegas Tuan Ibrahim, dasar PAS nyata bertentangan dengan PPBM kerana seperti yang diberitahu parti itu sebelum ini bahawa mereka mahu menukar sistem sedia ada berbanding menjatuhkan individu.
“Agenda PAS bukan menjatuhkan individu, agenda PAS ialah menukar sistem. Soalnya apakah sistem itu boleh bertukar dengan hanya jatuhkan seorang individu tu?
“Kalau sistem boleh berubah, korupsi, penyelewengan boleh berubah dengan hanya boleh tukar seorang individu (dari) dulu lagi dah selesai. Bila Tun (Mahathir) letak jawatan ganti dengan Pak Lah, Pak Lah letak jawatan ganti dengan Najib tapi ternyata sebenarnya sistem tidak akan berubah dengan hanya tukar individu.
“Sebab itu PAS mahu perubahan total, kalau kita hanya tukar sistem dan tidak menaikkan asas Islam sebagai dasar (maka) dia akan balik semula kepada benda yang sama,” tegas beliau lagi.
Justeru katanya, mahu atau tidak perkara ini perlu difahami PPBM jika mahu bersama PAS dan bukan hanya memberi fokus untuk menjatuhkan Najib sahaja. – AnataraPos
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW