GEORGE TOWN – Trafik di sepanjang Jambatan Pulau Pinang bergerak perlahan apabila orang ramai mula bergerak pulang ke rumah masing-masing selepas cuti Tahun Baru Cina.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila pemilik kenderaan memperlahankan kereta masing-masing untuk melihat aksi dua penunggang motosikal yang bergambar di tembok jambatan menghala ke pulau itu.
Salah seorang daripada mereka berdiri di atas tembok manakala seorang lagi berdiri di atas jambatan, sambil bergambar dengan gaya ‘dab’ (dab pose).
‘Dab pose’ merupakan satu gerak tarian di mana penari akan menundukkan kepala dan mengangkat lengan dan siku dalam keadaan menyerong.
Ia telah menjadi satu ‘pose’ popular untuk orang ramai bergambar sejak kebelakangan ini.
“Saya fikir orang ramai memandu perlahan untuk melihat apa yang mereka (penunggang motosikal) lakukan,” kata seorang pemandu yang turut melihat aksi penunggang motosikal itu kira-kira pukul 2 petang Isnin.
Jurucakap Plus Malaysia berkata, orang ramai tidak dibenarkan berhenti di sepanjang jambatan untuk mengambil gambar.
“Jika pasukan peronda mengenal pasti kegiatan itu, kita biasanya akan memberitahu mereka supaya meneruskan perjalanan.
“Bagi kes ini, pasukan peronda mungkin terlepas daripada melihat kumpulan itu kerana mereka mungkin mengambil gambar dan kemudian berlalu pergi,” katanya, sambil menambah tiada aduan rasmi dibuat. – mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW