loading...

Kenapa Tiada Siasatan Kerugian AS$10 Bilion 25 Tahun Lepas?

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan kerugian sebanyak AS$10 bi­lion (RM44 bilion) melalui ke­giatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, jauh lebih besar daripada jumlah yang dilaporkan bank pusat tersebut.

 

Bekas Penolong Gabenor BNM ketika itu, Datuk Abdul Murad Khalid berkata, Laporan Tahunan BNM pada 1994 hanya mencatatkan kerugian sebanyak RM9 bilion sahaja akibat kegiatan itu, sedangkan angka sebenar adalah jauh le­bih besar.

 

Menurut beliau, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan tentang kerugian yang dikatakan terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah perbankan antarabangsa itu.

 

“Apa yang pelik, tiada siasatan lanjut dijalankan walaupun kerugian mencecah AS$10 bi­lion. Pihak berkuasa mempersoalkan perkara ini namun ia terhenti di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia dan New Straits Times di sini semalam.

 

Isu kerugian yang dialami BNM akibat kegiatan perdaga­ngan mata wang itu menggemparkan negara pada 1994 namun tiada tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang terlibat.

 

Pada masa itu, pelbagai pihak termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mempersoalkan mengapa BNM dilibatkan dalam kegiatan spekulasi mata wang yang beri­siko tinggi untuk mengalami kerugian.

 

Walau bagaimanapun, pada 3 April 1994, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerugian sebanyak RM5.7 bilion yang dialami oleh BNM dalam transaksi perdaga­ngan wang asing pada 1993 tidak menjejaskan kedudukan kewa­ngan negara.

 

Abdul Murad menambah, transaksi berbentuk spekulasi melibatkan pelbagai mata wang asing termasuk pound sterling, dolar Amerika Syarikat (AS), mark Jerman dan yen itu direkodkan oleh seorang kakitangan berpangkat rendah BNM.

 

Beliau memberitahu, sebarang kerugian dalam transaksi berkenaan sepatutnya dilapor­kan kepada Bahagian Akaun BNM namun perkara itu didakwa tidak berlaku.

 

“Mereka mungkin menyembunyikan maklumat tentang kerugian tersebut dengan memindahkan caj kepada akaun rizab yang lain,” jelasnya.

 

Abdul Murad berkata, tindakan dalaman juga tidak diambil bagi memastikan pihak yang terlibat menggantikan semula dana rezab BNM yang hilang akibat transaksi berkenaan.

 

“Tiada jawatankuasa dalam BNM yang memantau transaksi ini. Semuanya dilakukan oleh seorang individu,” katanya.

 

Beliau berpandangan, kegiatan spekulasi mata wang adalah di luar skop BNM dan bank pusat itu sepatutnya memainkan pe­ranan mengawal peredaran ringgit.

 

Sehubungan itu, Abdul Murad menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan kes tersebut dan beliau bersedia memberi kerjasama jika diperlukan. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...