loading...

GTR Bidas Dakwaan Lembu Sado Kacuk Dengan Babi

KUALA LUMPUR – Kelab Generasi Tranformasi Ruminan Malaysia (GTR) membidas sikap segelintir masyarakat yang menyebarkan berita palsu kononnya ‘lembu sado’ jenis Belgium Blue merupakan hasil kacukan babi sehingga mengelirukan orang ramai

 

Timbalan Pengerusinya, Nordin Mat ketika dihubungi SuaraTV berkata, pihaknya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab indidvidu tersebut yang jelas tidak mempunyai pengetahuan asas ternakan.

 

“Dari segi saintifik (biologi) babi atau yang sebangsa dengannya tidak dapat dikacuk dengan lembu kecuali dengan izin Allah, ini kerana demi kemaslahatan umat muslim Allah telah cipta beberapa mekanisma bagi menghalang pembiakan.

 

“Dan sekiranya jika berlaku pun baka tersebut tidak akan berjaya menghasilkan anak atau jika pembiakan tersebut berjaya menghasilkan baka (dikenali sebagai hibrid), anak hibrid tersebut kebiasaannya mandul.

 

“Setakat ini di Malaysia, hanya lembu dan seladang sahaja yang telah berjaya dikacuk (selembu) namun selembu yang terhasil adalah mandul manakala yang lain masih tiada laporan saintifik, malah hingga kini manusia pun tidak pernah berjaya dikacukkan dengan bangsa Apes (monyet, beruk, org utan dan lain-lain) disebabkan mekanisma halangan pembiakan,” ujarnya sebentar tadi.

 

Terdahulu beberapa individu melalui aplikasi WhatsApp menyeru orang ramai agar berhenti membeli daging lembu ternakan luar negara terutama New Zealand dan Australia kerana didakwa mengunakan baka lembu dan babi untu menghasilan ‘lembu sado’.

 

Nordin yang berpengalaman luas hampir 15 tahun dalam sektor penternakan turut menyeru agar masyarakat tidak terpedaya dengan dakyah songsang tersebut.

 

“Bawa-bawalah bertanya dulu sebelum nak sebar perkara yang tidak pasti, isu tersebut sangat tidak logik dan tidak masuk akal.

 

“Mereka yang keliru mengenai isu tersebut boleh menghubungi kelab GTR untuk kepastian dan penerangan lanjut,” katanya lagi.

 

GTR sebelum ini aktif menganjurkan pelbagai bengkel dan juga lawatan sambil belajar untuk ahli-ahlinya menimba ilmu baru serta berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan penternak-penternak lain bagi memajukan lagi industri yang mereka ceburi.

 

Kelab tersebut didaftar secara rasmi pada Februari 2014, mempunyai keahlian hampir 5,000 orang serta mempunyai tiga cawangan berdaftar di Zon Utara, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

GTR turut mempunyai koperasi yang didaftarkan tahun lalu atas nama Koperasi GTR Malaysia Berhad. – SuaraTV

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...