KUALA TERENGGANU — Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba mengheret beliau dan kerajaan negeri dalam pembelian dan penanaman pokok Ceiba chodatii di projek pembangunan Bandar Baharu Kuala Nerus.
Ceiba chodatii dikatakan berharga RM180,000 sepohon.
Ahmad Razif berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai hal pokok itu kerana projek pembangunan itu telah diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor dan jabatan yang terlibat.
“Saya tidak tahu-menahu tentang cerita (pokok) ini sampailah ia ‘diviralkan’ di media sosial.
“Ini (pokok) bukan dari saya, ini jabatan (JKR) yang handle pasal pokok itu. Saya dapat makluman pokok itu sumbangan kontraktor dan tidak ada dalam arahan atau termasuk dalam kontrak pun.
“Nama saya sudah dikaitkan, akan dibawa perundangan untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rumah Warisan Haji Su di Losong, di sini semalam.
Kelmarin menerusi laporan media, JKR Terengganu menafikan pembabitan Ahmad Razif dan kerajaan negeri dalam pembelian dan penanaman pokok berkenan yang didakwa berharga RM180,000 sepohon.
Dalam pada itu Ahmad Razif berkata beliau akan mendapatkan penjelasan pegawai yang berkaitan projek tersebut esok memandangkan mereka yang terlibat masih bercuti hingga semalam.
Mengulas mengenai harga pokok itu Ahmad Razif dalam nada sinis berkata jika benar pokok berkenaan berharga ratusan ribu ringgit mungkin kerajaan negeri terpaksa mengawal kawasan tanaman pokok itu dari diceroboh dan pokoknya dicuri.
Ceiba chodatii sejenis pokok tropika bersaiz sederhana dengan batang yang besar dan bulat, membesar hingga ketinggian 12 meter (39 kaki).
Daunnya gugur di musim luruh, tumbuh semula di musim bunga. — Bernama
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW