KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyertai kira-kira 5,000 rakyat tempatan memeriahkan majlis Rumah Terbuka MCA sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma MCA, Jalan Ampang, di sini, pagi tadi.
Menggayakan baju batik merah, Perdana Menteri yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, tiba ke majlis itu pada kira-kira jam 9.50 pagi.
Perdana Menteri disambut oleh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong serta barisan kepimpinan MCA sambil diiringi tarian singa.
Antara kenamaan lain yang hadir, Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.
Najib serta semua pemimpin lain kemudian turut diiringi ke pentas bagi menyempurnakan acara tradisi menggaul yee sang, makanan tradisi ketika sambutan perayaan itu.
Yee Sang yang melambangkan kemewahan, kemakmuran dan kesuburan adalah sejenis salad ikan mentah gaya Chaozhou, biasanya terdiri daripada potongan daging ikan mentah, yang bercampur dengan cebisan sayur-sayuran dan beraneka sos. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW