loading...

Keputusan Gantung, Baik Untuk Annuar Musa Kata Exco Pemuda

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk menggantung tugas Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi Majis Amanah Rakyat (MARA) dan Pelaburan MARA Berhad (PMB) adalah baik untuk kariernya kata Exco Pemuda Umno, Nazir Hussin Akhtar Hussin.

 

Nazir yang juga merupakan Ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA)  berkata, keputusan sebulat suara itu bertujuan untuk membersihkan nama Annuar yang terpalit dengan dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa berkaitan tajaan pasukan bola sepak Kelantan oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

 

“Pada saya keputusan tersebut adalah baik untuk karier beliau kerana ia akan membolehkan satu siasatan menyeluruh dijalankan sekaligus membersihkan nama Tan Sri (Annuar) kerana ia melibatkan kepentingan orang Melayu.

 

“Secara asasnya beliau tidak bersalah selagi beliau tidak dibuktikan telah melakukan kesalahan. Jadi pada saya pihak media tidak sepatutnya memandang isu ini dari sisi yang berlainan,” katanya ketika dihubungi SuaraTV sebentar tadi.

 

Lembaga Pengarah MARA pagi tadi mengadakan mesyuarat tergempar dan memutuskan untuk menggantung jawatan Annuar daripada agensi itu berkuatkuasa serta merta.

 

Annuar dalam satu kenyataan kemudian berkata tidak mengetahui mengenai mesyuarat khas itu dan hanya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad keputusan penggantungan beliau selepas selesai mesyuarat.

 

Bagaimanapun Nazir menafikan, Annuar tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat khas tersebut selain daripada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut dimaklumkan mengenai perkara itu.

 

“Saya telah dimaklumkan mesyuarat khas pada pagi tadi memang berada dalam pengetahuan Tan Sri malah sejurus selepas keputusan diambil Pengerusi Sementara (Dato Dr Yusof Hj Yaacob) sendiri telah menghubungi beliau untuk memaklumkan mengenai keputusan mensyuarat.

 

“Jadi adalah tidak benar sekiranya ada yang berkata Tan Sri tidak dimaklumkan, tapi saya tak nak komen lebih-lebih takut nanti ia bercanggah dan mungkin boleh mengeruhkan keadaan.

 

“Pihak Menteri turut telah dimaklumkan mengenai mesyuarat khas ini cuma beliau mungkin tidak dimaklumkan mengenai agenda yang akan dibincangkan, malah kami selaku ahli Majlis turut tidak mengetahui mengenai agenda pada mesyuarat tersebut ” ujarnya pula. – SuaraTV



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...