SHAH ALAM – PAS melahirkan rasa keliru mereka terhadap tindak-tanduk Tun Dr Mahathir Mohamad yang melebihi Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam mengeluarkan kenyataan bersabit kerjasama dengan parti itu.
Menurut Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Tun M hanya sekadar penasihat parti yang tidak terlibat dalam perbincangan dan rundingan yang berlaku antara PPBM-PAS.
“(Sekarang) ni presiden parti adalah Tan Sri Muhyiddin, Tun M sebagai penasihat. Dia (Muhyiddin) tidak laju (keluarkan kenyataan). Banyak kenyataan dikeluarkan Tun M dan presiden (Muhyiddin) tak ada kenyataan. Sepatutnya kenyataan dikeluarkan presiden, Tun M tak terlibat dalam perbincangan dan rundingan dan dia tak tahu apa berlaku dan dibincangkan.
“Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz memahami apa yang kita bincang selama ni pun, cuma saya fikir PPBM perlu selesai hal dalaman (parti) siapa yang nak kena ikut? Presiden ke penasihat? Kami pun jadi pening kepala juga,” katanya kepada Antarapos.
Sehubungan dengan itu, Tuan Ibrahim meminta kepimpinan tertinggi PPBM untuk menyelesaikan perkara ini terlebih dahulu kerana ia melibatkan masalah dalaman parti yang tidak boleh dicampuri PAS.
“Ini urusan dalaman parti Bersatu (PPBM) yang sepatut diselesaikan, sampai ada orang tanya siapa presiden sekarang dalam Bersatu (PPBM) ni?, soal beliau lagi.
Tun M kerap kali dilihat melontarkan kritikan keras kepada PAS bersabit hubungan kerjasama mereka, berbanding dengan Muhyiddin yang lebih berlembut dan berhati-hati untuk mempengaruhi parti itu turut serta dalam pakatan pembangkang pada pilihan raya akan datang.
Terbaru, Tun M menyalahkan PAS akan menjadi penyebab memecah-belahkan undi pembangkang sekaligus memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).
Malah Tuan Ibrahim menafikan PAS adalah parti yang ‘degil’ untuk diajak bekerjasama, sebaliknya parti itu sentiasa membuka pintu rundingan dengan mana-mana parti, asalkan mereka menghormati dasar perjuangan masing-masing.
“PAS sentiasa buka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang menghormati dengan apa yang diperjuangkan PAS, kita perlu menghormati sebagaimana PAS menghormati dasar-dasar parti lain.
“PAS bukan parti yang keras, degil nak bincang sebab dalam banyak-banyak parti politik di Malaysia, PAS adalah satu-satunya parti yang mengadakan hampir kerjasama dengan semua parti-parti yang ada hari ini,” tegas beliau. – AntaraPos
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW