BUKIT MERTAJAM – Penduduk Kampung Guar Jering, Bukit Mertajam digemparkan dengan penemuan seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter di belakang rumah seorang penduduk pada petang Sabtu.
Kehadiran reptilia itu disedari seorang penduduk, Abdullah Jab, 58, kira-kira jam 3 petang selepas melihat kelibat buaya berkenaan merangkak dari arah sungai berdekatan menuju ke kawasan berpaya di belakang rumahnya.
Abdullah berkata, ketika kejadian, dia bersama anaknya sedang mengecat rumah sebelum menyedari kehadiran reptilia itu dan kemudiannya bertindak menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Saya tidak pernah nampak kejadian begini sebelum ini. Pada Jumaat lepas, ada pemancing datang dan mereka nampak dahulu buaya ini.
“Kelmarin saya mengecat rumah kira-kira jam 3 petang, anak saya nampak buaya itu dan kami cuba untuk mengambil gambar.
“Mungkin buaya itu sedar kehadiran saya dan buaya itu turun ke dalam sungai. Pada pukul 5 petang buaya itu naik sekali lagi, saya ada di dalam rumah. Memang kami tengok sendiri dari jauh dan kemudian memanggil JPAM. Namun buaya itu hilang,” katanya.
Menurut Abdullah, ini merupakan kali pertama dia melihat kewujudan buaya di kawasan itu selepas menetap di kampung tersebut sejak lebih 50 tahun lalu.
“Kehadiran buaya berkenaan menimbulkan kebimbangan buat kami sekeluarga termasuk penduduk kampung kerana dikhuatiri ia bertindak ganas dan mengancam penduduk kampung.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat menangkap reptilia itu secepat mungkin memandangkan jarak antara rumah dengan sungai hanya kira-kira 10 meter manakala buaya berkenaan menjadikan kawasan belakang rumah saya sebagai tempat persembunyian,” jelasnya.
Sementara itu, pemancing, Muhammad Azizi Zakaria, 24 berkata, kisah penemuan buaya itu yang ketahui menerusi laman sosial Facebook menarik minatnya untuk melihat reptilia itu secara dekat.
“Viral dalam portal Penangkini, kemudian tengok di dalam Facebook. Bila saya tengok jadi teruja, pemancing bila cerita mengenai buaya pasti teruja.
“Saya tidak pernah jumpa buaya sepanjang memancing jadi hari ini saya datang bersama anak saudara. Kebetulan pula jumpa wartawan, terus datang untuk dengan lebih dekat.
“Hendak kata keinginan itu tidak kerana seram. Harap pihak berkuasa berkaitan dapat melakukan sesuatu untuk memastikan tiada kejadian buruk berlaku kerana ia dekat dengan rumah penduduk, ujarnya.
Pada masa sama Muhammad Azizi mengingatkan kaki pancing agar berhati-hati apabila memancing di kawasan berkenaan kerana bimbang diserang haiwan ganas itu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.45 petang daripada seorang penduduk yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
Jelasnya, pihak JBPM cuba mengesan kehadiran reptilia berkenaan namun gagal kerana buaya itu dipercayai masuk semula ke hutan atau sungai berhampiran. – Awani
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW