loading...

Memupuk Kesederhanaan Di Selatan Thailand

Oleh: Sofian Baharom

 

JURANG sebenar bukanlah di antara Timur dan Barat atau antara negara maju dan membangun atau malahan antara orang Islam dan bukan Islam. Ia antara golongan sederhana dan ekstremis daripada semua agama.

 

Penegasan yang pernah ­disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menunjukkan betapa ­pentingnya amalan kesederhanaan dalam menjamin masa depan yang lebih baik terutama di rantau ini.

 

Selaras dengan itu, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) terus memainkan peranannya dalam mempromosikan kesederhanaan dengan terlibat pada Seminar ‘Kesederhanaan di Wilayah-wilayah Berbilang Kaum Sempadan Selatan Thailand’ yang akan berlangsung di Pattani, Thailand hari ini.

 

Seminar tersebut dianjurkan sebagai sebuah platform bagi pihak-pihak ber­kepentingan bertukar pandangan dan mengeluarkan syor-syor berkaitan dalam usaha membantu masyarakat di selatan Thailand yang majoritinya ­beragama Islam.

 

Disokong oleh Centre for Muslim World Policies of Chulalongkorn University dan Institut Wasatiyah untuk Keamanan dan Kemajuan Pejabat Sheikhul Islam Thailand, seminar tersebut dijangka dihadiri kira-kira 150 peserta yang terdiri dari wakil agensi kerajaan dan kumpulan masyarakat.

 

Ini adalah susulan daripada ­pertemuan Najib dan rakan sejawatnya dari Thailand, Prayut Chan-o-cha pada Rundingan Tahunan Ke-6 antara kedua-dua negara September lalu yang mana kedua-dua pihak bersetuju untuk mempertingkatkan pertukaran pengalaman dalam perkara melibatkan kesederhanaan serta cabaran-cabaran berkaitan ekstremisme yang dihadapi ASEAN.

 

Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GMMF, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa berkata, seminar tersebut akan menyentuh tentang keperluan untuk menggerakkan semangat kesederhanaan serta penjelasan tentang persamaan antara konsep kesederhanaan dan wasatiyah.

 

Selain itu, katanya, seminar berkenaan turut menumpukan tentang bagaimana amalan kesederhanaan menjadi satu kaedah untuk melawan diskriminasi, ekstremisme dan sebagai proses penyelesaian konflik.

 

“Seminar ini dilihat sebagai sebuah platform untuk membincangkan tentang kesederhanaan, konsep wasatiyah dan bagaimana ia boleh memainkan peranan bukan hanya dalam menangani perkembangan ekstremisme antara negara dan etnik tetapi juga bagaimana boleh membantu dalam memperbetulkan ketidakseimbangan melibatkan konflik agama.

 

“Adalah menjadi harapan kita agar hasil daripada seminar ini dijadikan tapak permulaan ke arah selatan Thailand yang memiliki pembangunan inklusif serta keamanan dan kesejahteraan berterusan,” katanya.

 

Nasharudin menerusi ucaptamanya pada seminar tersebut akan berkongsi pendapat, analisis dan cadangan tentang cabaran yang dihadapi masyarakat di selatan Thailand dari perspektif kesederhanaan dan wasatiyah Islam selain kepentingan pembangunan yang inklusif bagi mencapai keamanan serta kesejahteraan yang berkekalan di kawasan terbabit.

 

Seminar tersebut juga akan menyaksikan majlis menandatangan satu memorandum persefahaman (MoU) untuk memupuk kerjasama dalam bidang kesederhanaan antara GMMF dan Institut Wasatiyah untuk Keamanan dan Kemajuan Pejabat Sheikhul Islam Thailand.

 

Majlis menandatangan itu bakal disaksikan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain; Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Afandi Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Asia Timur Kementerian Luar Thailand, Singtong Lapisatepun.

 

Seminar itu seterusnya akan disusuli dengan perbincangan meja bulat antara agama melibatkan jurucakap-jurucakap dari Central Islamic Council of Thailand, Institut Wasatiyah untuk Keamanan dan Kemajuan Pejabat Sheikhul Islam Thailand dan Kuil Rattananupab dari wilayah Narathiwat.

 

Para peserta yang mewakili kumpulan-kumpulan masyarakat termasuk wanita, belia, guru dan penduduk di selatan Thailand juga berpeluang menyertai perbincangan pada sesi bengkel yang mengetengahkan topik berkaitan kesederhanaan di negara itu. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...