KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membidas Tan Sri Annuar Musa supaya jangan sibuk mencari ‘kudis’ orang lain.
Tunku Ismail berkata, menerusi Facebook Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim iaitu Johor Southern Tigers menegaskan, seeloknya Annuar melupakan hasrat untuk menerajui bola sepak negara dan memperbetulkan semula amanah yang diberikan kepadanya untuk menerajui KAFA dengan sebaik-baiknya.
“Saya dimaklumkan mengenai timbul persoalan berkaitan fasiliti milik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim. Kepada Tan Sri, semua stadium di negeri Johor sememangnya milik Kerajaan Negeri Johor dan kerajaan tersebut pula adalah milik Siapa? Milik DYMM Sultan Johor yang telah wujud sejak tahun 1885. Itu bererti terpulanglah kepada DYMM Sultan Johor untuk bagaimana menggunakan semua milik kerajaan negeri. Jangan samakan negeri Johor dengan negeri lain. Johor sudah wujud sebelum kemerdekaan, dengan cara tersendiri, dan dengan sistem berpelembagaan tersendiri sejak 1885.
“Negeri Johor juga adalah kubu kuat parti pemerintah sekarang. Tarikh untuk rakyat negara keluar mengundi sudah hampir, oleh itu jangan cuba menjolok sarang tebuan kerana kelak buruk padahnya. Kepada Tan Sri, jangan jadi liabiliti kepada parti anda. Anda sendiri jelas mempunyai kepentingan diri sendiri dalam parti. Ingatlah bahawa anda berkhidmat kepada Rakyat. Kita sedia maklum yang Tan Sri telah membina Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dari mula-mula lagi dan Tan Sri juga harus bertanggungjawab atas kegagalan dan ketidak urus KAFA hari ini.
“Janganlah Tan Sri bagaikan nakhoda bertempiaran lari meninggalkan bahtera bila berhadapan ombak besar. Sedangkan KAFA pun Tan Sri tak boleh nak urus, elok Tan Sri lupakan hasrat menerajui bola sepak negara,”titahnya menerusi status tersebut.
Tunku Ismail turut menyelar Annuar yang mendakwa JDT merosakkan pasaran bola sepak negara kerana membayar gaji pemain terlalu tinggi, sedangkan Annuar sendiri tidak mampu untuk membayar gaji pemain dengan baik.
“Tan Sri mengatakan bahawa JDT merosakkan pasaran bola sepak Malaysia dengan membayar gaji pemain terlalu tinggi. Sistem bola sepak negara kita kini sudah berdaya maju, dan tidak wujud mengenai pasukan lain tidak mampu untuk bersaing atau beraksi dalam liga. Ianya berkenaan dari kebijaksanaan mengurus wang. Ianya satu perkiraan yang mudah.
“JDT paling ramai boleh mendaftar dalam 27 hingga 30 orang pemain tempatan sahaja dalam satu masa. Berapa ribu pemain yang ada dalam negeri ni? Jikalau anda nak menandatangani pemain yang sama memanglah duit anda akan habis. Terpulang kepada JDT untuk membayar berapa tinggi sekalipun gaji pemain kami. Masih ada ramai lagi pemain lain yang boleh bermain dan tidak perlulah bersaing dengan JDT untuk mendapatkan pemain yang terbaik. Ikutlah kemampuan dan jangan sibuk bersaing dengan cara JDT,”tulisnya lagi.
Tunku Ismail turut menasihati Annuar supaya sebelum memberikan sebarang kritikan kepada pihak lain beliau perlu memperbetulkan pengurusannya terlebih dahulu.
“Sebelum Tan Sri hendak memberikan komen mengenai kelab atau negeri lain, uruskanlah KAFA terlebih dahulu. Tidak payah buang masa untuk sibuk mengenai urusan pasukan atau kelab lain.
“Selesaikan dulu hutang piutang sebanyak RM6.7 juta terlebih dahulu sebelum bercakap hal-hal yang lain. Janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati. Pandangan ikhlas dari saya, dulu masa Tun Dr Mahathir bagi awak duit yang banyak untuk menangkan kembali Kelantan, untuk anda gunakan wang tersebut sebaiknya demi kebajikan rakyat, bukan untuk beli sebuah kereta Porsche Panamera,”tegasnya.-SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW