ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memutuskan untuk menolak tawaran penajaan berjumlah RM30 juta daripada Pengasas Syarikat D’Herbs Healthy Sdn. Bhd., Datuk Aliff Syukri Kamarzaman (gambar) disebabkan syarat perjanjian yang sukar dipenuhi.
Setiausaha Kehormatnya, Datuk Aminuddin Omar berkata, keputusan yang dibuat persatuan itu adalah muktamad dan tidak bercadang untuk membuat sebarang rundingan lagi.
“Setelah meneliti draf perjanjian terakhir pada 27 April lalu, KFA membuat keputusan untuk tidak meneruskan dengan tawaran penajaan tersebut. Ini adalah muktamad,” katanya pada sidang akhbar khas di Stadium Darul Aman, di sini hari ini.
Kata Aminuddin, pihaknya tidak dapat menerima tawaran perjanjian itu kerana draf perjanjian tersebut di luar bidang kuasa KFA.
“KFA hanya sebuah persatuan, kadang-kadang draf perjanjian lebih kepada (bidang kuasa) kerajaan negeri,” ujarnya.
Tambahnya, KFA masih mampu menguruskan pasukan bola sepak Kedah dengan baik walaupun tanpa penajaan tersebut. – UTUSAN