KUCHING – Sekumpulan anak muda membidas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali yang menghina Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satim.
Ketua Belia Kuching, Mohd Sofian Fariz, 30 menyifatkan tindakan Azmin itu sebagai biadap.
“Pertamanya, kami anak muda Sarawak ingin hendak menunjukkan kemarahan dan rasa terguris hati dengan lontaran YAB Azmin Ali yang lantang dan jelas biadap terhadap YAB Tok Nan.
“Sebagai orang luar, seorang tetamu dan juga seorang Menteri Besar seharusnya peka kepada sentimen dan budaya tempatan dan bahawa kami anak Sarawak di ajar untuk bersopan santun di tempat orang. Sebab budaya sebegini adalah asing dan biadap,” katanya sejurus selepas mengadakan ‘flashmob’ di hadapan Petronas di Jalan Tun Abdul Rahman Yakob Petra Jaya, petang tadi.
Sofian turut menegaskan budaya tersebut telah melukakan keseluruhan hati rakyat Sarawak.
“Pembawaan budaya yang estrim yang ditonjol oleh pemimpin pemimpin pembangkang dalam sessi jelajah ceramah mereka di PRN11 ini banyak melukakan hati kami.
“Jika itu sebahagian dari budaya YAB Azmin Ali dan partinya dan parti DAP, kami ingin nyatakan, kami tidak ingin terikut dan kami akan tolak sekeras kerasnya,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan ‘flashmob’ seperti itu akan diteruskan diseluruh Sarawak sekiranya Azmin terus menghina Adenan dengan kenyataan seperti itu. – SuaraTV