SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor memperlekeh kekuatan jentera pilihan raya PAS apabila menyifatkan ia bukan faktor utama kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.
Ketua Pemuda Amanah negeri, Abbas Azmi, berkata mengambil contoh pada pilihan raya umum (PRU) lalu, PAS tewas di Parlimen Jerai, Kedah walaupun jentera parti itu berjaya menarik ribuan hadirin setiap kali ketika berkempen.
“Sekuat mana pun jentera PAS, jika ia tidak diterima pengundi, mereka (PAS) akan kalah juga. Walaupun jentera Amanah sedikit, tetapi ia bukan ukuran. Ini kerana, akhirnya yang akan mengundi dan membuat keputusan ialah pengundi itu sendiri.
“Kita semua tahu sudah menjadi budaya PAS, setiap kali mereka berkempen atau berceramah, beribu-ribu akan turun mendengar, tetapi mereka kalah juga di Kedah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abbas berkata, Amanah Selangor tetap dengan pendirian untuk bertanding pada PRK Parlimen Sungai Besar dan semua kerusi milik PAS di negeri ini pada PRU akan datang.
“Amanah adalah pengganti PAS, jadi semua kerusi PAS di negeri ini akan jadi milik Amanah,” katanya. – BH