loading...

Undang-Undang Dana Politik Dijangka Berkuatkuasa Pada PRU14

KUALA LUMPUR – Undang-undang untuk mengawal selia dana politik dan perincian perbelanjaan parti dijangka berkuat kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP), Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata satu pertemuan terakhir akan diadakan Julai ini, membabitkan beberapa parti politik bagi membincangkan butiran berkaitan.

 

Katanya, pertemuan itu penting bagi memastikan segenap perspektif mengenai isu yang melingkari pembiayaan politik diperhalusi, sebelum dibentangkan ke Kabinet pada Ogos depan.

 

“Apabila undang-undang ini diguna pakai pada tahun 2018 iaitu ketika PRU-14, semua parti politik wajib mendedahkan maklumat mengenai identiti penderma, jumlah dan cara perbelanjaannya kepada rakyat.

 

“Langkah ini penting bagi memastikan isu kepercayaan yang semakin terhakis, terutama membabitkan pemimpin parti politik berupaya dikembalikan,” katanya pada sidang media selepas menutup Persidangan Antarabangsa mengenai Integriti Politik: Memperkukuhkan Ketelusan dalam Pembiayaan Politik, di sini, semalam.

 

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mustafar Ali. Persidangan dua hari yang bermula kelmarin itu turut dihadiri peserta luar negara seperti Taiwan, Korea Selatan, Indonesia dan Mexico.

 

Seng Kuan berkata, undang-undang mengenai pembiayaan politik akan dikuatkuasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

 

Katanya, cadangan sebelum ini supaya bidang kuasa mengenai undang-undang itu diberikan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bakal mengundang pelbagai masalah.

 

“Setakat ini, ROS mempunyai lebih 170,000 pertubuhan yang berdaftar dengannya, justeru untuk menambah bebanan mereka untuk memantau aliran wang daripada pembiayaan politik adalah tidak munasabah.

 

“SPR akan diberi tanggungjawab memantau segala aspek ini dan melaporkan sebarang salah laku supaya tindakan bersesuaian dan setimpal dapat dilaksanakan,” katanya. – BH

Previous
Next Post »
loading...