loading...

Calon Pas Untuk PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar Diperkenalkan Jumaat Ini

KUALA LUMPUR – Pas akan mengumumkan nama dua calon yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, Jumaat ini.

 

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, pihaknya masih belum memuktamadkan calon bagi kedua-dua kerusi itu kerana perlu mendapatkan pandangan daripada beberapa individu dalam parti.

 

“Buat masa ini, Pas tetap akan bertanding di dua-dua kerusi Parlimen itu, sebab itu memang kerusi kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini semalam.

 

Ditanya mengenai kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan ismail yang mendakwa, Pas menjadi punca mesyuarat pakatan pembangkang baharu ditangguhkan, Idris yang juga Pengarah Pilihan Raya PRK Kuala Kangsar mempersoalkan dakwaan berkenaan.

 

“Pasal apa pula? Tiada kena mengena pun (dengan Pas). Masalah gaduh suami isteri, takkan jiran pula yang menentukan cerai atau tidak. Rumah orang kita mana kacau,” katanya.

 

Menurut Idris, PAN dan PKR perlu jelas mengenai tujuan mereka bertanding dalam pilihan raya tersebut iaitu sama ada mahu menentang Barisan Nasional (BN) atau Pas.

 

“Tidak tepat jika PAN mengatakan tujuan bertanding dalam PRK nanti mahu menjadi pendamai. Nak berdamai untuk apa? PAN hendak lawan BN atau Pas?

 

“Pas bertanding di dua-dua kawasan itu sebab hendak lawan BN, jadi tidak timbul isu berdamai atau rampas hak orang,” katanya. – Utusan

Previous
Next Post »
loading...