loading...

Runtuhan Tebing Sungai Kelantan Sedang Diatasi

PASIR MAS – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mengatasi masalah runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pasir Parit, Chetok di sini yang menjadi kegelisahan penduduk di kampung itu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sejak kejadian runtuhan bermula 15 Dis tahun lepas, kini kawasan tanah seluas 2.45 hektar telah musnah dihanyutkan arus sungai.

“Setakat ini sebuah menara Tenaga Nasional Berhad dan sebuah rumah penduduk telah musnah manakala sebuah lagi rumah penduduk hanya tinggal kira-kira 10 meter dari lokasi runtuhan tebing, selain itu tanaman penduduk seperti pokok durian turut musnah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan berkenaan hari ini.

Wan Junaidi berkata bagi penyelesaian jangka pendek, KADA bertindak segera untuk menutup kawasan terjahan arus yang membentuk alur baharu selebar 60 meter dengan kaedah penanaman ‘cerucuk keping’ manakala untuk jangka panjang JPS akan membina struktur penstabilan tebing kekal sungai di kampung itu.

Beliau berkata pihak kementeriannya menyedari kejadian runtuhan tebing yang berlaku di Sungai Kelantan dan ia akan diatasi melalui projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 melibatkan kos RM572 juta yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok.

Wan Junaidi berkata selain mengatasi masalah runtuhan tebing sungai, PLSB juga yang meliputi projek tebatan banjir akan menyelamatkan kira-kira 95,000 penduduk daripada dilanda banjir.

Sementara itu, beberapa penduduk di kampung berkenaan yang berada dalam kebimbangan berharap masalah runtuhan tebing itu dapat diatasi segera bagi mengelakkan rumah dan tanaman mereka musnah.

Tiu Hock Tong, 67, yang rumahnya terletak 10 meter daripada lokasi runtuhan tebing itu, berharap kerajaan dapat menyelamatkan rumahnya yang didiami beliau bersama sembilan anggota keluarganya.

“Sejak kejadian tebing runtuh pertengahan bulan lepas ketika berlakunya banjir, kami berada dalam kebimbangan terutama pada waktu malam dan lagi pun kami tiada rumah lain untuk berteduh (tinggal),” kata lelaki warga emas itu. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...