loading...

Wanita Lemas Di Kolam Renang Sebuah Kelab Golf

KEPALA BATAS – Seorang wanita meninggal dunia dipercayai lemas dalam kejadian di kolam renang sebuah kelab golf di sini hari ini.

Mangsa berusia 50-an itu berpakaian seluar panjang dan baju-T ditemui terapung dalam keadaan meniarap di kolam kanak-kanak sedalam 1.2 meter oleh pengunjung yang menggunakan kolam renang dewasa bersebelahan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 10.56 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.

Menurut saksi, yang mandi di kolam bersebelahan, katanya, mangsa pada mulanya dilihat duduk di tepi kolam seorang diri sebelum mandi di situ.

Beliau berkata saksi itu kemudian terus mandi bersama rakan-rakannya sebelum tiba-tiba ternampak mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam kolam itu.

Noorzainy berkata pengunjung dan pekerja kelab golf yang berada di situ terus membawa mangsa naik ke atas dan cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR) namun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba tidak lama kemudian,

“Pemeriksaan polis menemui wang tunai RM500 dalam poket kiri seluar yang dipakai wanita itu dan tiada sebarang tanda lebam atau cedera pada badan mangsa. Tiada sebarang pengenalan diri bersamanya,” katanya.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu diminta tampil di mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...